suria

Sukan Asia Edisi Ke-17 Dibuka Penuh Warna Warni

INCHEON: Presiden Korea Selatan Park Geun-hye  merasmikan pembukaan Sukan Asia edisi ke-17 dengan kemeriahan gabungan budaya Asia dan majlis penuh warna-warni di hadapan kira-kira 60,000 penonton.

Ini merupakan kali ketiga Korea Selatan menjadi hos temasya sukan terbesar Asia selepas 1986 di bandaraya Seoul dan 2002 di Busan.

Temasya 16-hari itu menampilkan 36 acara sukan dengan membabitkan lebih 13,000 atlet dan pegawai daripada 45 buah negara.

Majlis dengan tema 'Impian 4.5 bilion rakyat, Satu Asia', arahan penerbit filem tersohor, Jang Jin, di Stadium Utama Asiad Incheon, bermula dengan tarian muzik tradisional petani Korea berjudul 'Pungmul Play of Bupyeong'.

Majlis disulami dengan persembahan kanak-kanak menggunakan batang besi untuk menolak gegelang logam, menyingkap kembali presembahan yang sukar dilupakan pada pembukaan Sukan Olimpik di Seoul pada 1988.

Ini diikuti oleh persembahan penyanyi soprano Jo Sumi dan koir terdiri daripada 919 penduduk Incheon yang mendendangkan lagu 'Lagu Sukan Asia', gubahan penyair Ko Un dan lagu ikon rakyat "Arirang'.

Selain persembahan berwarna-warni, menghiburkan dan bermaklumat itu, satu lagi acara kemuncak adalah kemunculan kumpulan popular K-Pop, EXO dan JYJ serta penyangi rap tersohor dunia, Psy, yang terkenal dengan muzik video 'Gangnam Style'.

Semua kontinjen berarak memasuki stadium mengikut urutan abjad Korea atau 'Hangul' dengan bermula Nepal dan diakhiri dengan kontinjen tuan rumah Korea Selatan.

Kontinjen Malaysia dengan 421 atlet dan pegawai dengan berpakaian 'Wira Malaysia' memasuki stadium dengan diketuai Datuk Daniyal Balagopal Abdullah dan Datuk Nicol Ann David sebagai pembawa 'Jalur Gemilang.'

Atlet lelaki negara mengenakan pakaian baju Melayu dengan sampin dan wanita pula memakai baju kurung dengan selendang.

Sebaik sahaja acara perarakan kontinjen, majlis diteruskan dengan acara membawa obor oleh barisan atlet veteran dan semasa termasuk bintang bola keranjang Lee Seung-yuop, pemain golf wanita Park In-bee dan bintang tenis Lee Hyung-taik.

Sukan Asia, Incheon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain