suria

Persediaan Liga Super, Perak Pilih Jurulatih Croatia

Vjeran Simunic

IPOH: Jurulatih dari Croatia, Vjeran Simunic dipilih untuk melatih skuad bola sepak Liga Super Perak musim depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di sini,Selasa.

Simunic, 61, sebelum ini merupakan jurulatih pasukan Duli Pengiran Muda Mahkota Club (DPMM FC), Brunei dan berpengalaman mengendali lebih 30 pasukan kelab antaranya Saigon FC (Vietnam).

Zainol Fadzi berkata pemilihan jurulatih itu diputuskan selepas Pafa membuat perbandingan dan penilaian teliti.

"Berbekalkan pengalaman beliau sebagai jurulatih, Pafa percaya beliau mampu membuat perubahan kepada pasukan," katanya.

Zainol Fadzi berkata pelantikan Simunic merupakan persediaan awal pasukan The Bos Gaurus itu selepas gagal untuk menjulang Piala Malaysia tahun ini berikutan tersingkir di peringkat kedua kumpulan.

"Menyusun semula pasukan Perak merupakan inisiatif awal dalam persiapan menghadapi Liga Super musim depan," katanya.

Selain itu beliau berkata Pafa telah bersetuju untuk menamatkan kontrak 10 pemain termasuk tiga pemain import antaranya Md Nor Haziq, Md Hidayat dan Milan Purovic.

Lapan orang pemain dari skuad Piala Presiden pula diserap ke dalam skuad utama tahun depan antaranya Hafiz Ramadan, Amirul Azhan dan Mohd Norhakim Isa.

Beliau berkata Pafa mengekalkan Datuk Azhar Ahmad sebagai pengurus pasukan.

Perak hanya akan mendaftar 22 pemain iaitu 18 pemain tempatan serta empat pemain import daripada jumlah 26 pemain yang boleh didaftar, kata Zainol Fadzi.

"Sekiranya kita memerlukan pemain lain, pendaftaran akan dibuat semasa pendaftaran kedua nanti," katanya.

Sementara itu Simunic berkata beliau akan berusaha membawa Perak menjadi pasukan lebih baik musim depan berlandaskan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Kami akan membina pasukan selangkah demi selangkah. Kami akan jadikan Perak pasukan yang lebih baik. Kami menyasar Perak berada di tiga tangga teratas Liga Super musim depan," katanya.


Perak, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain