suria

Hoki: Tiada Tekanan Jadi Penjaga Gol Tunggal Malaysia - S.Kumar

Pasukan hoki negara menunjukkan jersi pasukan yang akan membawa cabaran negara pada majlis memperkenalkan jersi pasukan hoki negara yang akan menyertai Sukan Asia 2014 Incheon Korea, Selasa.

KUALA LUMPUR: Pemain skuad hoki kebangsaan S.Kumar mengakui tidak menerima sebarang tekanan apabila pengendali sementara pasukannya, Arul Selvaraj mengambil keputusan menamakan beliau sebagai penjaga gol tunggal pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Beliau berkata keputusan menghantar seorang penjaga gol sahaja pada temasya itu adalah satu keputusan yang praktikal.

"Saya rasa perkara ini bukan isu dan biasa sahaja sebab negara seperti Korea Selatan, Australia dan Jerman juga hanya hantar seorang penjaga gol.

"Memang pada perlawanan sebelum inipun saya main seorang... melainkan jika ada kecederaan, kita akan guna penjaga gol kedua," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi pasukan hoki negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Jersi baharu itu diserahkan Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Mohd Johari Abdul Aziz kepada pengurus pasukan hoki ke Sukan Asia Tai Beng Hai.

Media sebelum ini melaporkan Arul terpaksa membuat keputusan menamakan seorang penjaga gol kerana keperluan dan keutamaan perlu diberikan kepada pemain di bahagian serangan serta pertahanan berikutan corak permainan yang pantas.

Arul juga berkata jika Kumar mengalami kecederaan, beliau masih mempunyai alternatif iaitu menamakan Mohammad Izad Hakimi sebagai pengganti.

Dalam undian Kumpulan A, Malaysia yang menduduki ranking ke-13 dunia, berada bersama-sama Singapura, Bangladesh, Korea Selatan dan Jepun.

Kumpulan B terdiri daripada India, Pakistan, Oman, China dan Sri Lanka.

Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Sebagai rekod, skuad hoki negara meraih pingat gangsa pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan dan perak dalam edisi 2010 di Guangzhou, China. 

hoki, sukan asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain