suria

Naib Juara Terbuka AS Dedah Segala-galanya...

Caroline bangkit dari kegagalan cintanya untuk muncul naib juara tenis Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu.

> Caroline Wozniacki pertama kali bercakap mengenai perpisahannya dengan Rory McIlroy

> Mereka berpisah hanya beberapa hari sebelum edar kad perkahwinan

> McIlroy berkata perpisahan mereka adalah kehendak bersama

> Tapi Caroline kata McIlroy putuskan hubungan menerusi panggilan telefon

> Hanya ambil masa 10 minit untuk batalkan perkahwinan mereka

> Sekarang saya boleh keluar dengan lelaki lebih tinggi

BEKAS pemain tenis wanita nombor satu dunia dan kini naib juara Terbuka Amerika Syarikat yang baru, Caroline Wozniacki buat pertama kalinya mendedahkan bagaimana perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung dengan pemain golf nombor satu dunia, Rory McIlroy, 25,  berakhir hanya dalam masa sepuluh minit menerusi satu panggilan telefon.

Caroline, 24, berpisah dengan McIlroy pada penghujung Mei lalu hanya beberapa minggu sebelum perkahwinan mereka berlangsung.

Rory McIlroy

Pengumuman mengenai perpisahan mereka dilakukan secara terbuka oleh pemain golf yang berasal dari Ireland Utara itu dengan menegaskan ia adalah keputusan bersama.

Mereka telah bercinta selama tiga tahun dan sepatutnya mengedarkan kad perkahwinan mereka beberapa hari sahaja lagi sebelum membuat keputusan untuk membatalkannya. Kad undangan perkahwinan mereka sudah pun siap dicetak.

Bagaimanapun dalam satu temuramah dengan Yahoo! News, Caroline mendedahkan yang McIlroy membuat keputusan untuk berpisah dengannya secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh menerusi satu panggilan telefon yang hanya bertahan selama sepuluh minit tanpa bersemuka atau berdepan dengannya.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar kerana dia (McIlroy) telah mendedahkan keputusan ini secara terbuka menerusi satu kenyataan akhbar jadi saya tidak mempunyai banyak pilihan...saya terpaksa berhadapan dengan situasi ini.

"Sudah tentu saya sangat terkejut...dan pada fikiran saya dia akan memberitahu keputusan tersebut secara bersemuka dengan saya tetapi malangnya itu tidak berlaku. Saya hanya dimaklumkan menerusi satu panggilan telefon dan selepas itu saya tidak mendengar apa-apa daripada dia lagi," ujar Caroline.

Pemain tenis itu juga mendedahkan yang dia menerima berita pembatalan perkahwinannya itu dengan McIlroy tanpa persediaan dan situasi tersebut sangat sukar untuk ditelan.

Bagaimanapun dalam temuramah itu, Caroline akhirnya menyindir bekas tunangnya itu dengan berkata, sekurang-kurangnya kini, dia berpeluang untuk keluar dengan lelaki yang lebih tinggi darinya dan dia dapat memakai kasut bertumit tinggi.

McIlroy dengan ketinggian 5 kaki 8 inci adalah jauh lebih rendah dari Caroline.

McIlroy pula memberi alasan punca sebenar mengapa dia membatalkan rancangan perkahwinannya dengan Caroline adalah kerana dia tidak bersedia untuk menempuh alam perkahwinan lagi.

Sebaik sahaja mengumumkan pembatalan tersebut, McIlroy muncul juara Kejohanan Golf BMW PGA sekaligus memperlihatkan krisis peribadinya tidak sedikit pun menjejaskan prestasinya di padang.

Dan pada bulan Julai, dia memenangi satu lagi kejohanan berprestij iaitu Terbuka British dan kemudian menjadi juara Kejohanan PGA Amerika Syarikat.

Prestasinya memuncak seolah-olah dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah ekoran pembatalan perkahwinannya itu sedangkan prestasi Caroline merudum - tewas di pusingan pertama Terbuka Perancis.

Bagaimanapun hujung minggu lalu, Caroline kembali ke prestasi sebenarnya dengan muncul sebagai naib juara Terbuka Amerika Syarikat - tewas di tangan rakan baiknya sendiri, Serena Williams.

Caroline mendedahkan yang teman-teman baiknya dalam sirkit tenis seperti Serena telah banyak membantunya untuk bangun semula dari kegagalan cintanya dengan McIlroy dan itu memberi semangat baru kepadanya semula.

Dia berpendapat, bekas kekasihnya itu tidak dapat menyeimbangi kehidupan sebagai seorang superstar dengan kehidupan peribadinya.

McIlroy, yang dianggarkan mempunyai kekayaan sehingga £28 juta telah melamar Caroline di Sydney, Australia, pada hari tahun baru 2014 dengan sebentuk cincin berlian berharga £120,000.

Caroline yang dilahirkan di Denmark kepada keluarga berbangsa Polish, menjadi pemain wanita nombor satu dunia pada 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain