suria

30,000 Penyokong Dijangka Rai Kemenangan Skuad Tok Gajah Sabtu Ini

KUANTAN: Seramai 30,000 penyokong dijangka meraikan kejayaan skuad Pahang merangkul Piala Malaysia 2013 di Stadium Darul Makmur di sini, Sabtu ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Akbar VV Abu meminta semua penyokong pada malam sambutan tersebut supaya memakai baju berwarna kuning selaras dengan konsep ceria dan santai.

Beliau berkata majlis 'Malam Tok Gajah' itu akan bermula pukul 7.45 malam.

"Penyokong akan dihidangkan dengan perlawanan persahabatan antara artis Raja Lawak dan bekas pemain Pahang, persembahan konsert oleh artis popular dari Indonesia, Datuk Rossa, pertunjukkan bunga api dan cabutan bertuah," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Pahang berjaya menamatkan penantian selama 21 tahun untuk menjulang Piala Malaysia apabila mengalahkan juara bertahan Kelantan 1-0 pada final di Stadium Shah Alam, Ahad lepas.

Akbar juga berkata pasukan Pahang akan mengarak trofi Piala Malaysia ke seluruh daerah di negeri ini selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 Nov ini bagi berkongsi kejayaan tersebut dengan rakyat negeri Pahang. - BERNAMA

Artikel Lain