suria

Jurulatih Lontar Peluru Negara Mohd Nazar Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Jurulatih acara lontar peluru negara Mohd Nazar Abdul Rahim meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.

Allahyarham, yang bertugas sebagai jurulatih sepenuh masa dengan Majlis Sukan Negara (MSN), berusia 42 tahun.

Isterinya, Khairul Bariah Mohd Adam, 42, berkata suaminya meninggalkan dunia kira-kira 7.30 pagi selepas mengalami masalah jantung sejak awal tahun ini.

"Keadaan beliau bertambah kritikal sejak dua hari lepas," katanya kepada pemberita di kediamannya di Taman Keramat di sini.

Khairul Bariah, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Lembah Keramat di sini, berkata suaminya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebanyak empat kali tahun ini iaitu pada Januari, Mei, Jun dan September.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas solat Asar pada Isnin.

Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan masing-masing berusia 13 dan 15 tahun.

Khairul Bahriah berkata, suaminya telah mendidik ramai alet lontar peluru negara termasuk pemegang pingat perak Sukan SEA, Adil Aliffudin Hussin.

Sementara itu, Adi Alifuddin berkata, beliau berazam untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar Disember ini bagi merealisasikan impian jurulatihnya itu.

"Saya mengenali arwah (Allahyarham Nazar) lebih 10 tahun, arwah memang mengalami masalah jantung, semalam keadaannya semakin teruk.

"Walaupun arwah sudah tiada, semangatnya sentiasa bersama saya. Saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk capai hajat arwah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain