suria

Chong Wei 'Terpaksa' Sertai Siri Super Masters Akhir Disember Ini

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei terpaksa membatalkan hasrat untuk bercuti daripada sebarang kejohanan sepanjang Disember ini untuk menyertai Kejohanan Siri Super Masters Akhir 2013 di sini.

Chong Wei berkata beliau terpaksa mengubah keputusannya itu berikutan permintaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk beliau mengambil bahagian pada kejohanan akhir musim itu di sini dari 11 hingga 15 Disember ini.

Sebelum itu, pemain nombor satu dunia itu akan menyertai dua kejohanan siri super terakhir musim ini iaitu Terbuka China dari 12 hingga 17 November diikuti Terbuka Hong dari 19-24 November ini.

"Kalau diberi pilihan, saya mahu berehat daripada Kejohanan Siri Super Masters Akhir...keputusan bukan di tangan jurulatih tetapi persatuan (BAM) mahu saya main.

"Kalau tidak bermain pada Siri Super Masters akhir, saya boleh berehat untuk kembali cergas bagi menghadapi musim tahun depan yang lebih mencabar," katanya kepada pemberita pada majlis Kempen 100Plus 'Everyday Win' di sini Khamis.

Sambil mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya sepanjang musim ini, Chong Wei, bagaimanapun berkata beliau telah membuat persediaan bagi menghadapi Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.

Pada Terbuka Perancis akhir bulan lepas, Chong Wei gagal mendakap gelaran tersebut selepas tumpas kepada pemain nombor empat dunia, Kenichi Tago dari Jepun dengan keputusan 21-17, 16-21 dan 12-21 di peringkat separuh akhir.

Sebelum itu, beliau juga kalah straight set 22-24 dan 19-21 kepada pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China pada final Terbuka Denmark, pada pertengahan bulan lepas.

"Selalunya di penghujung musim, saya hilang fokus...saya memang penat. Musim depan, tumpuan saya hanya untuk kejohanan besar. Bagi saya pencapaian dalam sesuatu kejohanan lebih penting daripada ranking," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Dalam pada itu, Chong Wei bimbang dengan prestasi skuad negara yang belum mencapai standard untuk menghadapi Piala Thomas di New Delhi, India, tahun depan.

"Kalau dinilai kepada prestasi skuad negara, kita belum bersedia untuk menyertai Piala Thomas. Prestasi (dua pemain perseorangan) Liew Daren dan Chong Wei Feng belum stabil.

"Saingan dalam perseorangan lelaki bukan mudah kerana banyak negara mempunyai pemain yang bagus, jadi saya juga tidak boleh begitu selesa dengan kedudukan sekarang.

"Kita juga tiada beregu yang lebih menonjol seperti Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Dalam acara berpasukan (pada Piala Thomas), kita perlu mencari empat wakil (pemain) yang kuat. Kalau ada tiga wakil yang kuat pun belum tentu pasukan boleh menang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain