suria

Chong Wei, Kien Keat-Boo Heong Mara Ke Suku Akhir Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Terbuka Denmark, esok.

Pada pusingan kedua hari ini, Chong Wei mudah mengenepikan pemain perseorangan tuan rumah, Viktor Axelsen dengan straight set 21-11 dan 21-17 dalam masa 39 minit.

Chong Wei dijadual bertemu seorang lagi pemain tuan rumah, Jan O Jorgensen pada perlawanan suku akhir, demikian menurut laman web kejohanan tersebut, www.badmintondenmark.com.

Jorgensen menewaskan Kashyap Parupali dari India 21-11 dan 21-15 untuk mara ke suku akhir.

Sementara itu, beregu utama kebangsaan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara ke pusingan suku akhir selepas mengalahkan Michael Fuchs-Johannes Schoettler dari Jerman 21-14 dan 21-19.

Menanti pasangan itu pada suku akhir ialah pilihan kelapan kejohanan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan.

Bagaimanapun seorang lagi pemain perseorangan negara Chong Wei Feng dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terkandas pada pusingan kedua.

Wei Feng kalah kepada Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand, 21-15, 17-21, 17-21 manakala Peng Soon-Liu Ying kalah kepada gandingan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim So Young dengan keputusan 15-21, 22-20 dan 18-21. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain