suria

FAM Batalkan Keputusan Penggantungan Butler

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT) yang mengenakan penggantungan selama enam bulan dan denda RM4,000 ke atas bekas jurulatih mereka, Peter James Butler pada 17 September lepas.

Ketika mengumumkan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata keputusan PBSNT itu tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikuti prosedur yang ditetapkan termasuk tidak menyediakan kertas pertuduhan ke atas Butler.

"Mereka juga tidak mengguna pakai kod tatatertib yang digunakan oleh kita malahan menjatuhi hukuman secara rambang sahaja terhadap Butler," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di Wisma FAM di sini, Khamis.

Butler, 46, dikenakan hukuman tersebut kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

PBSNT yang bersidang tiga hari kemudian bertindak membatalkan kontrak jurulatih tersebut melalui sepucuk surat yang dihantar kepadanya. Keputusan pembatalan tersebut membolehkan jurulatih berbangsa Inggeris dari Halifax, Ireland itu memperoleh semula kontraknya yang masih berbaki sehingga Disember 2013.

Mengulas lanjut, Taufik berkata pihaknya turut membatalkan keputusan oleh Jawatankuasa Disiplin PBSNT itu kerana kehadiran individu yang mempunyai kepentingan dalam skuad Penyu sewaktu perbicaraan ke atas Butler dijalankan pada September lepas.

Taufik berkata PBSNT boleh mengemukakan rayuan berhubung keputusan badan induk bola sepak negara itu kepada Jawatankuasa Status Pemain yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan.

"Bidang tugas kita hanyalah mendengar keputusan rayuan yang dibawa oleh jurulatih tersebut sahaja (Peter James Butler)," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain