suria

David Beckham Kecewa Tidak Disenaraikan Dalam Skuad Olimpik GB

David Beckham. Foto AP
David Beckham. Foto AP
David Beckham. Foto AP

DAVID BECKHAM tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya apabila dimaklumkan bahawa dia tidak akan disenaraikan dalam 18 nama terakhir untuk mewakili pasukan bolasepak Great Britain (GB) dalam Sukan Olimpik bulan depan di London.

Pembentukan pasukan itu dianggap sebagai sesuatu yang bersejarah kerana inilah pertama kalinya kontinjen Olimpik GB akan diwakili oleh satu pasukan bolasepak.

Sebelum ini kontinjen Olimpik GB tidak pernah membentuk skuad bolasepak kerana setiap anggota negara GB mempunyai persatuan bolasepak yang bebas, independen dan berkecuali.

Negara-negara yang membentuk kesatuan GB terdiri daripada England, Scotland, Ireland Utara dan Wales.

Kesemua negara tersebut mempunyai persatuan bolasepak tersendiri dan bebas serta menjadi ahli independen Persekutuan Bolasepak Antarabangsa atau Fifa.

Hanya GB dibenarkan berbuat demikian kerana mereka adalah negara pengasas sukan bolasepak.

Dalam pada itu, keputusan untuk menguggurkan Beckham dari skuad bolasepak Olimpik GB dimaklumkan sendiri oleh pengurus pasukan, Stuart Pearce kepada pemain itu malam semalam.

Pearce juga adalah pengurus pasukan Skuad Bawah 21 England.

Pengugguran Beckham dari skuad tersebut turut mengejutkan ramai pihak setelah bekas kapten pasukan England yang mewakili negaranya sebanyak 115 kali memainkan peranan besar dalam membawa Sukan Olimpik ke London.

Bagaimanapun Stuart Pearce telah menunjukkan betapa sentimen tidak memainkan sebarang peranan langsung dalam soal membuat keputusan muktamad mengenai senarai pemain.

Namun begitu, Pengerusi Temasya Olimpik London, Sebastian Coe yang juga bekas pelari Olimpik dan pemenang pingat emas dalam acara Olahraga memberi jaminan yang Beckham akan tetap diberikan peranan sepanjang Sukan Olimpik 2012 ini berlangsung.

Skuad bolasepak Olimpik hanya dihadkan kepada pemain-pemain berusia 23 tahun ke bawah tetapi Fifa membenarkan setiap pasukan menyenaraikan tiga pemain lebih umur. Pearce dijangka mengumumkan secara rasmi skuad bolasepak Olimpik GB Isnin depan.

Tiga pemain lebih umur yang dijangka akan diumumkan Pearce ialah pemain pertahanan Spurs, Micah Richards, Ryan Giggs (Manchester United) dan Greg Bellamy (Liverpool).

Artikel Lain