suria

Chong Wei Anggap Ada Hikmat Di Sebalik Kecederaan

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan dan 'bertatih' dalam sesi latihan menjelang Sukan Olimpik London, bulan depan.

Situasi tersebut amat berbeza berbanding empat tahun lepas yang mana beliau bersedia 100 peratus, sebulan sebelum temasya sama di Beijing, China.

Harapan emas pertama Olimpik negara itu, bagaimanapun menganggap ada hikmah di sebalik kecederaan buku lali kanan yang dialaminya.

"Dah dapat kecederaan kena terima. Mungkin ada baik untuk saya. Tiada tekanan tinggi, cuma perlu cuba yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita pada jamuan tengah hari bersama media di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Atlet berusia 30 tahun itu juga mengakui masih fobia akibat kecederaan yang menimpanya pada Piala Thomas bulan lepas.

"Mesti mahu kuat. Ada 30 hari lagi sebelum Olimpik, jadi saya perlu kuatkan diri," kata Chong Wei yang memenangi pingat perak pada temasya di Beijing.

Ekoran kecederaan tersebut, juara All-England 2010 dan 2011 itu terpaksa melupakan hasrat beraksi pada kejohanan Siri Super Premier Terbuka Indonesia dan Siri Super Terbuka Singapura bulan ini.

Tanpa penyertaan dalam kedua-dua kejohanan itu, ranking Chong Wei merosot daripada pemain perseorangan nombor satu dunia ke nombor dua dalam senarai ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan awal minggu ini.

"Ranking itu cuma nombor buat saya. Yang penting ia tidak mengganggu konsentrasi dan persediaan saya untuk Olimpik.

"Lagi pun tidak keluar sertai kejohanan bagus untuk saya. Saya dapat bersedia lebih baik sebelum Olimpik," kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Chong Wei berkata kecederaannya kini 70 peratus sembuh dan berharap akan pulih sepenuhnya secepat mungkin.

Ditanya sama ada beliau terkilan sekiranya tidak meraih emas pada Olimpik nanti, pemain itu berkata beliau akan melakukan yang terbaik.

"Semua pemain yang bertanding di Olimpik akan buat yang terbaik. Kita hanya boleh berlatih bersungguh-sungguh dan bermain bermati-matian semasa kejohanan itu nanti," katanya yang tidak merancang untuk bersara selepas Olimpik London.

Chong Wei berkata selepas Olimpik, beliau masih berminat bermain dalam kejohanan seperti Sukan Asia, Piala Thomas dan Kejohanan Dunia namun tidak bercadang mengambil bahagian dalam temasya Olimpik seterusnya.

Chong Wei bersama beregu lelaki Koo Kean Keat/Tan Boon Heong serta beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan jurulatih masing-masing akan bertolak ke Bath, England pada 12 Julai bagi latihan pra-Olimpik di sana.

Sukan Olimpik London bermula 22 Julai hingga 12 Ogos.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain