suria

Pelumba Diingatkan Elak Kegelisahan Hari Pertama - Joo Ngan

KUALA LUMPUR: Pelumba Kuala Lumpur diingatkan supaya mengelakkan diri daripada merasa gelisah pada hari pertama dalam Jelajah 1Malaysia (J1M) yang akan diadakan selama enam hari mulai 8 Mei ini.

Pengurus pasukan Datuk Ng Joo Ngan berkata dengan laluan tahun ini yang kebanyakannya kawasan rata, apa yang penting ialah supaya pelumba perlu mengekalkan kedudukan dalam kumpulan di hadapan.

"Pada masa ini, masih terlalu awal untuk bercakap soal strategi, kita pun tidak mempunyai pasukan sepenuhnya berlatih dengan kita lagi," kata bekas jurulatih kebangsaan dalam satu kenyataan, Rabu.

"Tapi jika ada sebarang perkara di mana para pelumba perlu berhati-hati tentang berlakunya perpecahan pada hari pertama (dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar, Perak). Mereka tidak patut membiarkannya berlaku kerana jika kita kehilangan tiga hingga empat minit pada hari pertama, agak susah bagi kita untuk mengumpulkannya pada hari-hari berikutnya.

"Sebab itu, kenapa kita berlatih masa ini, untuk berhempas pulas berada dalam kumpulan di hadapan. Jika kita boleh rebut inisiatif untuk menang, maka kita perlu dapatkannya," katanya.

Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur baru-baru ini mengumumkan barisan pelumba bagi J1M tahun ini yang terdiri daripada Suhardi Hassan, Ahmad Fallanie Ali, Suhardi Hassan, Wan Mohd Najmee Wan Mohamad, Mohd Nazri Mohamad, Mohd Shafari Abdul Malik dan Ng Yong Li.

Pada 2004, Kuala Lumpur muncul sebagai juara pasukan keseluruhan manakala Suhardi muncul juara individu keseluruhan dan pada 2010, Suhardi memenangi peringkat 4 Jelajah Malaysia dari Juru Auto City, Pulau Pinang ke Sungai Petani.

Edisi ke-48 jelajah ini akan memaparkan enam peringkat perlumbaan meliputi jarak 1,023km, bermula dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar, Perak (161.5km), Bandar Baru Kampar-Kulim, Kedah (201.8km), Kulim-Felda Chuping, Perlis (168.8km), Kangar-Sungai Petani, Kedah (98.5km), Sungai Petani-Ipoh (193.4km) dan Ipoh-Dataran Merdeka (199.5km). - BERNAMA

Artikel Lain