suria

Yunus Risau Ramai Pemain T-Team Cedera

KUALA TERENGGANU: Jurulatih Yunus Alif melahirkan rasa kerisauannya kerana empat pemain tunggak utama pasukan T-Team mengalami kecederaan.

Kini hanya tinggal 19 daripada 23 pemain yang didaftar layak beraksi ekoran kecederaan Mohd Zharif Hasna, Wan Khairul Kamaruddin, Fadli Saari dan yang terbaru Tengku Hasbullah Raja Hasan yang dimasukan ke hospital semalam.

Tengku Hasbullah pengsan ketika berlatih di gimnasium Majlis Sukan Negeri (MSN) dipercayai akibat kekurangan air dalam badannya.

"Tumpuan kita mungkin terjejas sekiranya kecederaan para pemain terus berpanjangan. Namun inilah realiti dunia bola sepak dan kita terpaksa hadapi semua ini," katanya.

Yunus berkata buat sementara waktu, Khairul Izwan Khalid mungkin akan diturunkan semasa ketiadaan Tengku Hasbullah.

Beliau berkata T-Team terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan berikutan ia gagal mencari pemain import setelah pemain kelahiran Zambia, Zacharia Simukonda dipecat, juga ekoran kecederaan.

"Saya berharap inilah masanya pemain tempatan membuktikan kebolehan masing-masing dan tidak semestinya tanpa pemain import, kita tidak boleh menang," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

City Kembali Rampas Takhta Liga

Artikel Lain