suria

KBS Beri Subsidi RM200 Galak Belia Sertai Program Kemahiran

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan subsidi RM200 untuk menggalakkan belia menyertai program latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), kata Timbalan Menteri berkenaan Gan Ping Sieu.

Beliau berkata menerusi pemberian subsidi itu, peserta hanya dikenakan yuran sebanyak RM100 sahaja untuk mengikuti latihan kemahiran yang ditawarkan.

"Ramai belia yang berkelayakan di luar sana tidak mengetahui bahawa mereka boleh menjalani latihan kemahiran dengan yuran semurah itu, jadi kita akan mempertingkatkan usaha dengan KSM bagi memastikan lebih ramai belia menyertai program sebegini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT) kepada kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai bidang kemahiran di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Isnin.

Program tersebut yang meliputi pelbagai bidang kemahiran seperti automatif, hospitaliti dan spa mula diperkenalkan tahun lepas oleh KBS bermatlamat mengarusperdanakan latihan kemahiran melalui persijilan tunggal SKM.

Beliau berkata belia yang menyertai program tersebut diwajibkan membuat sebuah 'portfolio' yang hampir menyerupai tesis bagi memastikan mereka benar-benar mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang.

"Portfolio ini penting kerana banyak syarikat multinasional asing yang melabur di negara ini perlu mengikuti pensijilan ISO ditetapkan oleh kerajaan.

"Selaras dengan penetapan tersebut, maka mereka (syarikat multinasional asing) perlu mencari pekerja yang benar-benar berkemahiran," katanya.

Sementara itu, Gan berkata KBS melalui Bahagian Pembangunan Kemahiran yakin dapat mencapai sasaran penyertaan 5,000 belia untuk mendapatkan penganugerahan SKM melalui program PPT pada tahun depan.

Timbalan Menteri itu berkata keyakinan itu berdasarkan penyertaan menggalakkan sebanyak 3,500 orang belia berbanding 3,000 orang yang disasarkan pada peringkat awal bagi tahun lepas untuk program tersebut.

"Saya yakin melalui kerjasama erat yang terjalin antara Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Bahagian Pembangunan Kemahiran di peringkat kementerian sejak tahun lepas, kita mampu merealisasikan sasaran itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain