suria

Taekwando Akan Hantar 14 Atlet Ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Taekwando Malaysia (TM) akan menghantar 14 atlet untuk bersaing pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 Nov ini.

Presiden TM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata empat daripada mereka adalah dari kategori A dan selebihnya di bawah Kategori B (atlet kategori A dibiayai sepenuhnya manakala atlet di bawah kategori B dibiayai persatuan sukan masing-masing dan hanya akan dibayar semula jika mereka menang sekurang-kurangnya pingat perak).

"Untuk Sukan SEA, TM akan menaja 10 atlet di bawah Kategori B termasuk atlet Poomsae," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Antara atlet yang akan ke Indonesia itu ialah James Tee, Sharifah Maryam Alawiyah, Elaine Teo, Ryan Chong dan Rusfredy Tokan Petrus, dan Nurul Asfalina Mohamed Johari.

Tunku Imran berkata TM mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada dua kategori yang dipertandingkan, tetapi menjangka menghadapi tentangan sengit dari Thailand, Vietnam dan Filipina.

Pada Sukan SEA 2009 di Laos, taekwondo menyumbang satu pingat emas dan enam gangsa. Tunku Imran berkata TM juga akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Remaja Kebangsaan Kedua Taekwondo Malaysia (WTF) 2011 yang akan diadakan di Stadium Badminton Cheras di sini, hujung minggu ini.

Beliau berkata 10 peserta terbaik (lima lelaki dan lima perempuan) dari kejohanan itu akan berpeluang menjalani latihan sepenuh masa di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Beliau berkata sasaran jangka panjang bagi kumpulan umur 14-17 tahun ialah menghasilkan atlet yang berkaliber untuk Olimpik 2016 manakala kumpulan umur 10-13 tahun untuk persediaan Olimpik 2020.

"Sasaran TM untuk Olimpik 2012 ialah mempunyai sekurang-kurangnya seorang atlet layak dari kejohanan kelayakan Asia yang akan diadakan di Bangkok pada November. Empat atlet kami akan menyertai kejohanan kelayakan itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wusyu Sasar Tiga Emas Sukan SEA

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain