suria

Chong Wei Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung di Tokyo pada Rabu.

Pemain pilihan pertama yang juga wakil tunggal Malaysia bagi perseorangan lelaki itu mengatasi Rajiv Ouseph dari England dengan 21-13, 21-13 dalam masa 25 minit.

Chong Wei dijangka mudah untuk ke peringkat akhir yang mana beliau diramal bertemu 'musuh ketatnya' Lin Dan dari China.

Dua pasangan beregu lelaki negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Goh Wei Shem/Lim Khim Wah juga mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan lawan masing-masing.

Koo dan Tan jelas bukan tandingan pasangan muda Jepun Hiroyuki Saeki/Ryota Taohata yang ditundukkan dalam masa 20 minit dengan 21-10, 21-8.

Pilihan ketiga itu akan bertemu satu lagi beregu tuan rumah Yoshiteru Hirobe/Kenta Kazuno pada Khamis, sementara Goh dan Lim yang menewaskan pasangan Kim Ki Jung/Shin Baek Choel dari Korea selatan 22-20, 21-19, akan berdepan beregu China Chai Biao/Guo Zhendong. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Evra Anggap The Blues Saingan Utama

Artikel Lain