suria

Malaysia Yakin Rampas Kembali Piala TPM

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin mampu merampas kembali Piala Pusingan Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri yang sedang berlangsung di pusat membeli belah Berjaya Times Square dekat sini.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Faizal Abdul Bakar berkata beliau yakin pesilatnya mampu untuk merealisasikan misi utama kontinjen negara untuk merampas kembali Piala TPM daripada juara bertahan, Singapura.

Beliau berkata keyakinan tersebut dibuat berdasarkan prestasi memberangsangkan pesilat negara pada hari pertama saingan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang bermula pada Ahad.

"Tujuh daripada sembilan pesilat negara telah layak mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada esok (Isnin) dan Selasa ini.

"Kita jangkakan lebih ramai lagi pesilat kita mampu mara ke peringkat akhir pada perlawanan separuh akhir dalam beberapa acara lagi esok," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata antara enam pesilat lelaki negara yang telah layak ke peringkat akhir ialah Ahmad Zeeyadi Zahalami (Kelas Putra C), Mohamad Faizul Mohd Nasir (Putra B), Amir Ikram Rahim (Putra D) , Mohd Izzudin Hanan (Putra G), Rawi Isa (Putra E) dan Hamdam Zakaria dalam kelas Putra H.

Manakala pesilat tunggal wanita yang layak ke pusingan akhir ialah Zaiton A/P A.Koang untuk kelas Putri A.

Beliau berkata semua anak didiknya bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut namun tetap berhati-hati apabila berdepan dengan pesilat dari negara Singapura dan Vietnam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Yuzy Puas Hati Aksi Zaqwan

Artikel Berikut

Arsenal Terus Ditimpa Malang

Artikel Lain