suria

Katrina teruja beraksi di Indonesia

Aksi emas Katrina dalam acara Solo Technical Routine pada Sukma pada Jun baru-baru ini.
Aksi emas Katrina dalam acara Solo Technical Routine pada Sukma pada Jun baru-baru ini.
Aksi emas Katrina dalam acara Solo Technical Routine pada Sukma pada Jun baru-baru ini.

KATRINA Ann Abdul Hadi mungkin menjadi atlet paling gembira selepas menyaksikan acara kegemarannya renang berirama turut disenaraikan pada Sukan Sea XXVI yang akan berlangsung di Indonesia pada November ini.

Selepas hampir 10 tahun acara ini tidak di pertandingkan pada Sukan Sea, kini ia kembali mewarnai kolam renang sekali gus memberi keyakinan kepada atlet renang berirama untuk mempamerkan yang terbaik.

“Saya sangat teruja acara ini di adakan kembali pada Sukan Sea tahun ini. Setelah sekian lama ia tidak dipertandingkan selepas Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur, saya yakin bukan saya sahaja yang gembira dengan keputusan itu, tetapi semua atlet yang terlibat.

“Ia juga bakal menjadi pengalaman pertama saya beraksi pada Sukan Sea. Pastinya peluang ini saya akan gunakan sebaik-baiknya. Dengan latihan serta rekod sebelum ini, saya optimis menyasarkan dua pingat emas dalam dua acara iaitu duet dan berpasukan,” katanya ketika ditemui media minggu lalu.

Menurut Katrina, 19, walaupun pernah merangkul pingat emas pada Sukan Asia Pasifik sebelum ini, dia tetap berwaspada dengan saingan dari negara lain seperti Thailand dan Singapura.

“Acara ini sangat subjektif dan saya sedar saingan tetap sengit dan tidak boleh pandang remeh. Sebab itu jugalah pasukan saya terus menjalani latihan.

“Tetapi saya sangat bertuah kerana akan berpasangan dengan atlet senior yang lebih berpengalaman, Shareen Png. Beraksi bersamanya mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada saya.

“Dia juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan membantu saya mengawal perasaan gentar ketika beraksi. Dengan sebab ini jugalah saya yakin skuad negara mampu meraih emas di Indonesia nanti,” katanya yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Rembau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, mengimbas kembali penglibatannya dalam sukan berirama ini, dia berkata bukan mudah untuk membuat keputusan pada awalnya kerana turut terlibat dalam beberapa jenis sukan lain lagi.

Namun selepas berfikir panjang, dia mengambil keputusan memilih acara ini secara serius kerana ia bukan sahaja sukan yang mencabar dan mengutamakan semangat berpasukan, tetapi ia merupakan acara yang mampu membawa nama ke peringkat dunia.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini berkata, selepas beberapa tahun membuat keputusan untuk menceburi bidang ini, akhirnya Katrina merasakan dia telah membuat keputusan yang betul.

“Hampir tujuh tahun menyertai skuad negara, saya yakin mampu memyumbang sesuatu yang bermakna bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk negara. Saya berharap perjalanan saya akan terus lancar dan mampu beraksi pada Sukan Olimpik satu hari nanti,” jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain