suria

Golf: Steel & Shaaban Sasar Tempat Ke Piala Dunia Omega Mission Hills

KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara Iain Steel percaya gandingan barunya bersama Shaaban Hussin akan merangsangkan peluang Malaysia melayakan diri ke Kejohanan Golf Piala Dunia Omega Mission Hills buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

Menurut laman web Jelajah Asia, kedua-dua pemain tempatan itu akan mencuba nasib bersama 16 pasukan lain untuk memburu tiga tempat ke Piala Dunia pada pusingan kelayakan Asia di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara, mulai Rabu.

"Ini ada gandingan baru dan harap kami boleh bermain dengan baik untuk menempah tiket ke pusingan akhir Piala Dunia," kata Steel, yang tinggal di Amerika Syarikat.

Ini merupakan percubaan kelima Steel untuk membantu Malaysia layak ke Piala Dunia selepas kali pertama pada 2001.

Shaaban merupakan pemain ranking kedua terbaik Malaysia dalam senarai ranking dunia.

Beliau, yang terikat di tangga ke-20 pada Masters Indonesia pada Jelajah Asia April lalu, akan membuat penampilan sulung pada pusingan kelayakan Piala Dunia dan tidak sabar untuk mendapat bimbingan dari pemain lebih berpengalaman.

"Ini adalah kali pertama bermain format Piala Dunia tetapi bertuah kerana dapat bermain di tempat sendiri," katanya.

Format permainan itu sama dengan Piala Dunia di mana empat bola digunakan pada pusingan pertama dan ketiga sementara foursomes (alternate shot) dimainkan pada pusingan kedua dan akhir. - BERNAMA

Artikel Lain