suria

Remy, Hailey Muncul Juara Masters Kejohanan Komanwel

PETALING JAYA: Pemain boling Adrian Ang terlepas peluang mengutip pingat emas ketiga negara pada Kejohanan Komanwel Kelima di sini apabila sekadar meraih pingat perak dalam acara Masters lelaki.

Dalam final acara step-ladder di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunyway, pada Sabtu, Adrian menamatkan saingan dengan ketinggalan 45 pin di belakang pemenang emas Remy Ong dari Singapura.

Adrian menjatuhkan 161 pin manakala Remy mencatatkan 206 jatuhan pin.

"Saya mahukan permulaan baik dengan melakukan dua strike pada dua frame pertama...saya fikir saya agak terburu-buru," kata Adrian.

Terdahulu itu, pemain berusia 24 tahun itu menunjukkan prestasi baik pada saingan blok kedua dengan mengumpul 1,295 jatuhan pin selepas 1,353 pin pada blok pertama semalam bagi mengumpul sejumlah 2,648 pin.

Selepas berakhir dua blok, tiga pemain teratas masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita layak ke acara akhir step-ladder.

Sementara itu, Remy mengalahkan pemain England, Matt Camberlain 197-161 untuk mara ke final.

"Saya berpuas hati dengan kejayaan ini...lebih-lebih lagi ia merupakan emas pertama dalam acara Masters bagi saya dalam Kejohanan Komanwel," kata Remy.

Dalam kategori wanita pula, Hailey White menewaskan Shayna Ng dari Singapura 217-192 untuk merangkul emas ketiga untuk England. Nicki Ainge dari England meraih pingat gangsa selepas tewas kepada Shayna 191-264 pada permainan setep-ladder pertama.

Pada kejohanan itu, Singapura muncul juara keseluruhan dengan mengutip tiga emas dan dua perak diikuti England dengan tiga emas, satu perak dan dua gangsa.

Malaysia menduduki tempat ketiga dengan dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.-BERNAMA

Artikel Sebelum

West Ham Calar Rekod Liverpool

Artikel Berikut

Artikel Lain