suria

Bola Sepak: Sathianathan Berang Aksi Anak Buah Seri Dengan KL Plus

KOTA BAHARU: Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan meluahkan rasa kecewa dan berang dengan aksi pasukannya yang gagal mengutip mata penuh sekalipun mengikat KL Plus 3-1 sehingga minit akhir dalam satu perlawanan Piala Malaysia, di sini malam tadi.

Bagi jurulatih itu, sikap lalai anak buahnya sehingga membolehkan KL Plus menyumbat dua gol untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-90 dan 91 perlawanan sukar diterima.

"Saya tidak salahkan seorang dua pemain tetapi semua. Kita sudah menang tetapi bagi semula (kemenangan itu) kepada pelawat sehingga akhirnya kita seri.

"Pemain ghairah mahu menyumbat gol yang banyak tanpa pedulikan keadaan di barisan pertahanan sendiri sehingga mereka (KL Plus) menyumbat dua gol di minit terakhir perlawanan dan ini sepatutnya tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.

Keputusan malam tadi itu meletakkan Kelantan di tangga kedua dalam Kumpulan A, di bawah Negeri Sembilan selepas hanya mengutip empat mata menerusi tiga perlawanan. Kelantan sebelum ini tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan dan menang tipis 1-0 ke atas PKNS Selangor.

Selepas tamatnya perlawanan malam tadi, ramai penyokong Kelantan yang kecewa telah berkumpul di hadapan stadium meminta agar Sathianathan dipecat sebagai jurulatih.

Mengulas lanjut, Sathianathan bagaimanapun berkata beliau tidak bercadang merehatkan mana-mana pemain pada perlawanan akan datang, sebaliknya menuntut mereka mempamerkan aksi berbisa selepas ini.

Sementara itu pengurus pasukan KL Plus, Husni Md Yusof menyifatkan keputusan itu sangat bermakna buat pasukannya.

"Inilah bola sepak, keadaan boleh berubah walaupun pada minit-minit terakhir dan syabas kepada pemain kami yang telah bersungguh-sungguh bagi mengelakkan tewas ditempat lawan," katanya.

Kejayaan mengikat Kelantan malam tadi bagaimanapun tidak mengubah kedudukan KL Plus yang kekal di tempat keempat Kumpulan A dengan dua mata. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain