suria

KBS Lepasi Sasaran Latih 5,000 Pemimpin Belia

KUANTAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjaya melatih 5,068 pemimpin belia melalui program Pemimpin Belia Berkaliber (PBB) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak tiga bulan lepas.

Angka itu melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Belia dan Sukan iaitu melatih 5,000 pemimpin belia tahun ini.

Penolong Pengarah Cawangan Kepimpinan dan Pembangunan Sahsiah KBS A Raman Musbah berkata 90 program PBB dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri sejak April lepas sementara tiga lagi program di peringkat kebangsaan akan diadakan antara Ogos dan Oktober ini.

"Program ini bukan menekankan kuantiti semata-mata, namun kami memberi fokus kepada kualiti dalam mewujudkan kepimpinan berkaliber dan global," katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Katanya pemimpin belia dilatih agar lebih inovatif, kreatif, berdaya saing dan profesional bagi mengharungi cabaran memimpin persatuan belia di peringkat akar umbi.

Bagi memastikan kesinambungan program itu, A Raman berkata maklumat setiap peserta akan dimasukkan ke pangkalan data untuk diawasi perkembangan mereka dalam persatuan masing-masing dan masyarakat setempat.

"Kami tidak mahu selepas pulang daripada mengikuti program ini, mereka tidak melakukan apa-apa perubahan, kami mahu mereka menjadi ikon kepada belia-belia supaya melibatkan diri di dalam persatuan atau pertubuhan belia, sekaligus mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk mengadakan kursus lanjutan selain PBB pada tahun depan bagi meningkatkan lagi profesionalisme pemimpin-pemimpin belia.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang mengadakan kerjasama dengan Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) dan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menambah nilai pengisian program sedia ada untuk meningkatkan pengetahuan dan pengurusan organisasi terhadap golongan itu.

Katanya ia sejajar hasrat KBS untuk melahirkan pemimpin belia yang mampu mewakili Malaysia ke seminar dan persidangan di peringkat antarabangsa bagi membincangkan isu-isu berhubung belia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain