suria

USM FC Pasukan IPTA Pertama Sertai Liga Premier

PULAU PINANG: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia dengan pasukan bola sepaknya menyertai Liga Premier.

Naib canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, ini merupakan sebahagian dari usaha universiti itu bagi mempromosi sukan di kampus.

"Ini adalah saat cukup bersejarah dan kami mempunyai rekod bahawa kami adalah IPTA pertama bertanding dalam liga dan mengadakan 'home game' di universiti juga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan para pemain Kelab Bola Sepak USM (USM FC) di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan itu telah membuat persiapan bagi pertandingan itu, dijadual bermula Isnin depan, sejak akhir tahun lepas lagi dengan sebilangan pemain dari pelbagai pasukan seperti Kedah, Pulau Pinang, Kelantan yang telah bermain di Liga Super dan dilatih oleh bekas ketua jurulatih Pulau Pinang S. Veloo.

Pengurus pasukan, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, pasukannya sebagai pasukan muda menetapkan sasaran sederhana dalam liga itu.

"Sasaran kami adalah setakat ingin melihat pasukan ini mengekalkan kedudukan dalam liga oleh kerana kami optimistik kekuatan fizikal dan mental USM FC mampu bertanding menentang pasukan lain dalam kejohanan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain