suria

KBS Rancang Hantar 'Skuad Emas' Jalani Latihan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang untuk menghantar pemain skuad bawah 23 tahun, yang memenangi pingat emas di Sukan SEA di Laos bulan lepas, menjalani latihan di luar negara termasuk ditempatkan di kelab bola sepak bagi tempoh tertentu.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab di England sempena kunjungannya ke negara itu minggu depan dan kelab negara lain bagi tujuan itu.

"Jika perbincangan dengan kelab-kelab itu berjaya ia akan membuka peluang seluas-luasnya kepada pemain-pemain tempatan untuk menambah mutu permainan dan pendedahan diri," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, strategi itu dilaksanakan oleh negara-negara Afrika dengan menghantar pemain-pemain mereka bermain dengan kelab-kelab di Perancis dan England umpamanya sejak di peringkat akademi lagi.

"Hasilnya mereka berjaya bermain di sana dan apabila tiba masanya mereka ini akan dipanggil pulang untuk membentuk pasukan kebangsaan yang mantap," katanya.

Menurut beliau, perbincangan dengan pihak tertentu akan dilakukan segera agar tidak wujud faktor penghalang untuk pemain muda bermain di luar negara.

"Saya melihat masa depan pemain-pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan tidak perlu dikorbankan hanya untuk memenuhi keperluan bermain untuk pasukan negeri atau kelab.

"Kita juga bersedia untuk membantu FAM daripada segi kewangan kerana ia menjadi masalah utama kepada pihak terbabit untuk melaksanakan program seperti itu sebelum ini," katanya.

Buat sementara waktu katanya, pemain bawah 23 tahun kebangsaan boleh kembali menyarung jersi pasukan masing-masing pada saingan Liga Malaysia 2010 yang akan bermula Sabtu ini.

"Namun mereka perlu bersedia sekiranya perbincangan dan usaha yang saya lakukan ini berhasil pasti perubahan akan berlaku di dalam masa yang singkat," katanya.

Beberapa pemain tempatan sebelum ini juga pernah menjalani latihan dan pendedahan di luar negara seperti Mohd Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Strasbourg FC, Perancis), Juzaili Samion (Strasbourg FC), Mohd Rudie Ramli (SV Wehen, Jerman), Mohd Fadzli Saari (SV Wehen), Baddrol Bakhtiar (Chelsea FC, England), Mohd Bunyamin Omar (Chelsea), Mohd Asrarudin Putra Omar (PSV Eindhoven, Belanda) dan Khairul Fahmi Che Mat (PSV Eindhoven).

Skuad bawah 23 tahun berjaya menamatkan penantian 20 tahun negara di Sukan SEA apabila meraih pingat emas dengan menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir bulan lepas.

Rentetan kejayaan itu, Ahmad Shabery mencadangkan supaya mengekalkan mereka di dalam satu pasukan tanpa perlu bermain dengan pasukan negeri atau kelab. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain