suria

K. Rajagobal Mula Fikir Strategi Untuk Raih Emas

VIENTIANE: Ketika anggota media Malaysia mengucapkan tahniah kepada K.Rajagobal ekoran kejayaan anak buahnya melangkah ke pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA ke-25, di sini, ada kerutan di wajah jurulatih tersebut.

Mungkin beliau memikirkan cara untuk menaikkan kembali semangat anak buahnya yang akan bertemu Vietnam pada perlawanan akhir Khamis ini, pasukan yang menewaskan Malaysia 3-1, pada perlawanan kedua Kumpulan A pada 6 Disember lepas.

"Saya memikirkan bagaimana untuk menaikkan semangat pemain bila kembali bertemu Vietnam di perlawanan akhir, selepas kita kalah kepada mereka sebelum ini.

"Mungkin saya tidak patut bercakap banyak dan membiarkan pemain sendiri memikirkan bagaimana untuk kembali bersemangat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir yang diadakan di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, Laos, di sini, malam semalam.

Malaysia merupakan naib juara Kumpulan A sementara Vietnam muncul juara kumpulan.

Pada satu perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Chaou Anouvong, di sini, semalam , Vietnam menumpaskan naib juara Kumpulan b, Singapura 4-1.

Pada perlawanan semalam, Malaysia, pasukan yang tidak diberikan harapan, menumpaskan tuan rumah 3-1 untuk melangkah ke perlawanan akhir dan berpeluang untuk meraih emas yang kali terakhir dirangkul skuad bola sepak negara pada edisi 1989 di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, Rajagobal berkata, selepas Baddrol Bakhtiar menyumbat gol pertama pada minit ke-13, pemain-pemain negara mula hanyut dan membiarkan pemain lawan menguasai perlawanan.

Hanya selepas Laos menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Kanlaya Sysomvang, barulah pemain kembali menyerang untuk mencari gol kemenangan, katanya.

Rajagobal berkata, ramai yang tidak tahu betapa sukar skuadnya mengharungi perlawanan menentang Laos kerana Malaysia bermain tanpa penyerang.

"Kita bermain tanpa penyerang. Mohamad Zaquan Abdul Radzak masih cedera, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Amirulhadi Zainal masih menjalani penggantungan.

"Saya hanya ada pemain tengah yang berkaliber, Safiq Rahim dan dia membuktikan kemampuannya," katanya.

Selain mengendalikan barisan tengah, Safiq juga menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-84.

Dua gol awal Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan 79.

Sementara itu jurulatih Laos, Alfred Riedl berkata, pasukan Malaysia menguasai permainan pada separuh masa pertama manakala Laos mengawal permainan pada separuh masa kedua.

"Bagaimanapun tuah tidak bersama kami apabila Malaysia berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua," kata jurulatih dari Australia itu.

Untuk rekod pada pertemuan terakhir di Sukan SEA, Laos mengalahkan Malaysia 1-0 di Sukan SEA ke-19 di Jakarta pada 1997. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain