suria

Yang di-Pertuan Agong sertai Kejohanan Golf antara Varsiti 2009

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah antara kenamaan yang akan menyertai Kejohanan Golf Antara Varsiti 2009 yang akan diadakan di Sungai Long Golf Resort, dekat sini pada 7 Julai depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mohd Lilansah Idris berkata kenamaan lain yang turut serta ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Kejohanan golf anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUTM) itu turut menampilkan 80 bekas pelajar dari universiti tersohor negara seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Bercakap dalam sidang akhbar di Rumah Alumni UTM di sini hari ini, Mohd Lilansah berkata setiap universiti dibenar menyenaraikan 16 pemain yang dibahagikan kepada empat kumpulan bagi merebut trofi pusingan yang sebelum ini dipegang oleh Persatuan Alumni UPM.

Kejohanan itu yang diperkenalkan pada 2005 bertujuan menjalin hubungan dan kerjasama sesama alumni dari universiti tempatan.

Mohd Lilansah berkata jawatankuasa penganjur juga bersetuju untuk menjemput Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) sebagai tuan rumah pada masa depan selain dapat meningkatkan penyertaan di kalangan universiti di Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain