suria

Persatuan golf perlu lebih serius - Muhyiddin

LANGKAWI: Persatuan golf sama ada profesional atau amatur perlu lebih serius dan menyusun semula organisasi mereka agar dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain golf yang menonjol di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebanyakkan persatuan sukan berkenaan dilihat tidak bergerak secara terancang sehingga boleh menganjurkan kejohanan seperti dalam bentuk sirkit yang boleh disertai pemain.

"Mana-mana persatuan sukan, terutamanya melibatkan sukan golf, perlu menyusun kembali 'rumah' mereka supaya dapat memartabatkan sukan itu di samping menganjurkan kejohanan yang boleh disertai pemain junior.

"Dari situ, bakat-bakat baru yang berpotensi boleh dikenalpasti dan diasah sehingga boleh pergi ke peringkat antarabangsa sekaligus melahirkan Malaysian Tiger," katanya pada majlis perasmian TSM Golf Challenge 2009, In Search of Malaysian Tiger di Tanjung Rhu, di sini hari ini.

Beliau yang juga penaung TSM Charity Golf, berkata ramai pemain dari rantau ini telah menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan tidak mustahil sekiranya negara ini juga mampu melahirkan pemain profesional seperti negara maju lain.

Katanya, "kita tidak boleh hanya jadi Jaguh kampung, sebaliknya harus mempamerkan aksi cemerlang ke peringkat yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, persatuan sedia ada perlu memberikan tumpuan dalam membantu menjejak bakat baru yang diyakini mampu mengharumkan nama negara dalam sukan golf.

TSM Charity Golf merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokus kepada kerja-kerja kebajikan melalui aktiviti sukan golf di samping melahirkan pemain golf muda yang boleh menjadi harapan negara

Badan kebajikan itu juga menjadi sebuah badan yang menghimpunkan ahli-ahli korporat, pengamal sukan golf, ahli-ahli politik dan para profesional di bawah satu bumbung dengan matlamat "beramal sambil bermain golf".

TSM Golf Challenge 2009 akan berlangsung pada 18 hingga 20 Jun ini di Kelab Golf Negara Subang, yang akan menyaksikan penyertaan 50 pemain golf lelaki dan 30 perempuan berumur bawah 21 tahun.

Kejohanan itu menawarkan hadiah dalam bentuk biasiswa bernilai RM40,000 untuk kategori lelaki manakala RM20,000 bagi perempuan. Biasiswa berkenaan akan diberi dalam bentuk tajaan latihan di akademi golf yang dipilih TSM Charity Golf. BERNAMA

Artikel Lain