suria

Chong Wei menang anugerah sukan SAM

PETALING JAYA: Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei hari ini diumumkan sebagai pemenang anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 100Plus.

Beliau yang merupakan pemenang Anugerah Sukan Negara, anugerah tertinggi buat atlet Malaysia pada tahun 2005 serta 2008, dan pemenang Anugerah Olympian, mengenepikan beberapa nama besar dalam sukan negara untuk memenangi anugerah itu.

Antara saingannya ialah ratu skuasy negara Datuk Nicol David, pasangan pemain badminton wanita Wong Pei TtyChin Ee Hui, Pemanah Olimpik Beijing Cheng Chu Sian dan penunggang basikal Azizul Hasni Awang untuk membawa pulang trofi dan hadiah tunai RM10,000.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyampaikan anugerah serta hadiah kepada Chong Wei pada majlis itu.

Chong Wei sebelum ini memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia yang kelima buatnya dan turut memenangi pusingan akhir Masters Siri Super.

Beliau juga menamatkan kemarau pingat buat Malaysia pada Sukan Olimpik apabila memenangi pingat perak pada temasya sukan itu di Beijing, dan beliau juga merupakan pemain badminton yang mengambil alih kedudukan Lin Dan dari China sebagai pemain nombor satu dunia.

"Saya gembira memenangi anugerah berprestij ini, dan ia pasti akan membakar semangat saya untuk terus berjuang dalam arena badminton, apa lagi dengan Kejohanan Dunia kini semakin hampir," katanya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya untuk anugerah ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain