suria

Barisan baru MOM cermin konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja'afar menganggap barisan kepimpinanan baru MOM bagi penggal 2009-2011 seiring dan mencerminkan konsep 1Malaysia.

Barisan ini adalah seiring dengan konsep 1Malaysia kerana setiap kumpulan kaum diwakili dan terserah kepada barisan kepimpinan ini untuk bekerja keras kerana MOM merupakan pertubuhan yang berorientasikan perkhidmatan.

Tunku Imran mempertahankan jawatan selepas bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim semalam menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

Tunku Imran berkata dalam tempoh dua tahun akan datang, barisan baru MOM mesti bekerja keras untuk membangunkan sukan negara, antara lain melaksanakan sistem penarafan bagi persatuan sukan kebangsaan dan membangunkan saluran televisyen (TV Sukan) serta gabungannya.

Tujuan utama penubuhan Saluran Sukan adalah untuk menyediakan serta memberikan liputan aktitivi sukan yang lebih baik dan meluas bagi badanbadan gabungannya, kata Tunku Imran pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-28 MOM di sini hari ini.

"Adalah penting untuk memahami bahawa MOM adalah badan induk dan persatuan sukan kebangsaan (NSA) mempunyai tanggungjawab untuk mempertingkatkan diri mereka.

"Kami boleh memberikan bantuan tetapi bukan bantuan kewangan kerana kami bukan pertubuhan yang menjana pendapatan," kata beliau.

Pada pemilihan hari ini, penyandang Datuk Dr M. Jegathesan memperoleh 65 untuk kekal sebagai Timbalan Presiden MOM mengalahkan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad yang mendapat 33 undi.

"Sesungguhnya amat sukar untuk mengekalkan jawatan ini dan atas sokongan daripada badan-badan gabungan, saya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan kualiti sukan di negara ini," kata Jegathesan.

Bagi jawatan naib presiden, Datuk A. Sani Karim kembali dipilih memegang jawatan selepas tempoh dua tahun melepaskannya apabila menerima 95 undi, diikuti tiga penyandang Datuk W.Y. Chin (89 undi), Datuk Zakaria Ahmad (79 undi) dan Datuk Roy Rajasingham (70 undi) manakala M.P Haridas mendapat 59 undi.

Keempat-empat yang mendapat undi terbanyak secara automatik menjadi naib presiden termasuk seorang wanita, Low Beng Chow yang menang tanpa bertanding.

Pemegang jawatan MOM bagi penggal 2009-2011:

Presiden: Tunku Imran Tuanku Ja'afar

Timbalan Presiden: Datuk Dr M. Jegathesan

Naib-naib Presiden: Datuk A. Sani Karim, Datuk W.Y.Chin, Datuk Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham, Low Beng Choo

Setiausaha Kehormat: Datuk Sieh Kok Chi

Penolong Setiausaha Kehormat (Lelaki): Ramlay Ibrahim

Penolong Setiausaha Kehormat (Wanita): Moira Tan Siew See

Bendahari Kehormat: Datuk Seri Kee Yong Wee

Penolong Bendahari Kehormat: Rosmanizam Abdullah

BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain