suria

Malaysia tewas 0-3 di tangan India

IPOH: Lebih 2,000 penyokong Malaysia hampa selepas pasukan negara tewas 0-3 kepada India pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung di Stadium Azlan Shah di sini hari ini.

Malaysia yang telah memenangi dua perlawanan sebelum ini hanya memerlukan satu kemenangan untuk memastikan layak bertanding pada perlawanan akhir sementara India yang turun sebagai pasukan pilihan dalam kejohanan ini menghadapi Malaysia dalam perlawanan kedua.

India berjaya mendahului 1-0 apabila Arjun Halappa menyempurnakan pukulan sudut penalti yang menewaskan penjaga gol Malaysia, S. Kumar pada minit ke-20.

Selepas itu, India terus bangkit mencari gol seterusnya dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke kawasan gol Malaysia tetapi gagal menembusi S. Kumar yang kekal cemerlang sejak perlawanan pertama tiga hari lalu.

Malaysia memperoleh peluang keemasan pada minit ke-24 selepas berlaku pergelutan di hadapan pintu gol India tetapi gagal menghasilkan gol.

Peluang menghasilkan gol terus gagal selepas rembatan deras Mohd Amin Rahim pada minit ke-28 semasa pukulan sudut berjaya ditampan keluar penjaga gol India, Baljit Singh.

India terus di depan selepas Sandeep Singh sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Separuh masa kedua, Malaysia yang ketinggalan 0-2 terus menggandakan asakan tetapi dipatahkan pertahanan India yang lebih bertahan di kawasan sendiri dan hanya menghantar bola ke tengah selepas mengagalkan serangan Malaysia.

India terus di depan setelah Gurvinder Chandi memukul masuk bola menewaskan S. Kumar pada minit ke-61.

Bagi jurulatih negara, Tai Beng Hai pula, kekalahan ini tidak bermakna pemain tidak bermain bersungguh-sungguh tetapi umum perlu tahu sebenarnya India lebih bagus dalam sukan ini dan daripada kumpulan terbaik.

Dalam pada itu, walaupun tewas dalam perlawanan hari ini, Malaysia masih mengungguli tangga teratas dengan enam mata, tangga kedua pula milik India yang berjaya mengutip empat mata daripada dua perlawanan sementara New Zealand yang menduduki tempat ketiga berkongsi mata dengan India tetapi dibezakan dengan jaringan gol.

Mesir di tempat keempat dengan dua mata dan Pakistan di tangga kelima tanpa kutipan mata selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

Esok, New Zealand akan menentang India dalam perlawanan pertama pada pukul 5 petang manakala Pakistan bertemu Mesir dalam perlawanan kedua pada pukul 7 petang.

Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain