suria

Malaysia benam Mesir 4-1 untuk kemenangan kedua

IPOH: Tiga jaringan melalui pukulan sudut penalti membantu Malaysia membuka peluang ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2009 setelah menumpaskan Mesir 4-1 di Stadium Azlan Shah di sini semalam.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia mencapai kemenangan kedua berturutturut selepas menumpaskan Pakistan 32 semalam, sekaligus mendahului kedudukan pasukan dengan mengumpul enam mata.

Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi pukulan Ismail Abu yang gagal ditampan oleh penjaga gol Mesir, Mohamed Mabrouk.

Tersentak dengan gol itu, Mesir mula melakar strategi untuk mengekang gerakan pasukan Malaysia dan memperkukuhkan barisan pertahanan sehingga masa separuh pertama tamat.

Bagaimanapun, Malaysia menggandakan asakan sejak awal permulaan separuh masa kedua tetapi berjaya dihalang kombinasi pertahanan Mesir yang sentiasa menunjukkan permainan mantap dan berkesan.

Namun begitu, Malaysia tidak berputus asa dan berjaya memperoleh gol kedua menerusi pukulan deras Engku Abd Malek Engku pada minit ke-39.

Mesir berjaya merapatkan jurang jaringan selepas itu apabila Ahmed Abd El Maksowd berjaya menjaringkan gol pada minit ke-45 menewaskan penjaga gol Malaysia, S. Kumar dalam pergelutan di hadapan pintu gol.

Gol ketiga dan keempat Malaysia diperolehi melalui pukulan sudut penalti yang dihasilkan Chua Boon Huat pada minit ke-65 dan Mohd Amin Rahim pada minit ke-68.

Jurulatih negara Tai Beng Hai berkata kejohanan itu digunakan setiap pasukan untuk mencari gandingan dalam membentuk pasukan mantap bagi menghadapi kejohanan yang akan datang.

Katanya pasukan negara pada masa ini cuba mempraktikkan pukulan sudut penalti sebagai senjata utama yang berkesan untuk menghasilkan gol pada setiap perlawanan.

"Masa rehat esok akan digunakan untuk menilai prestasi pemain dan mungkin memerlukan penukaran pemain untuk perlawanan seterusnya menentang India dan New Zealand," katanya.

Sementara itu, jurulatih Mesir, Jerzy Wybieralski berkata, ini merupakan pengalaman pertama pasukan bimbingannya bertemu Malaysia yang bermain lebih baik dan berpengalaman.

Menurut Jerzy, cubaannya menukar rentak permainan pada separuh masa kedua berjaya menghasilkan gol tetapi tidak mampu bertahan lama kerana pemain Malaysia menunjukkan permainan yang berbeza selepas itu.

"Kesilapan yang dilakukan pemain Mesir dan persediaan rapi yang dibuat Malaysia membolehkan mereka menang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain