suria

‘Soulmate Hingga Jannah’ Cerita Cinta Kurang Jiwa

Taufik Batisah dan Reen Rahim dalam 'Soulmate Hingga Jannah'.
FILEM: Soulmate Hingga Jannah

PENGARAH:
Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen

PELAKON:
Taufik Batisah, Raja Ilya, Douglas Lim, Erra Fazira, Nad Zainal dan Datuk Rahim Razali

GENRE:
Drama/Komedi Romantik

DURASI:
114 minit

PENGEDAR:
Alternate Pictures Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 16 Februari 2016

SEBENARNYA sudah lama juga penulis tidak menonton filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen (kini bergelar Profesor Datuk) di pawagam.

Kali terakhir seingat penulis adalah 2 Hati 1 Jiwa (2010) sewaktu masih bergelar seorang wartawan hiburan dan membuat liputan majlis tayangan prebiunya ketika itu.

Meskipun nama A. Razak tidak segah dan popular sewaktu zaman kegemilangannya yang banyak melahirkan filem pecah panggung namun, pujian seharusnya diberikan kepada beliau kerana masih terus berusaha untuk melahirkan filem-filem baharu.

Dua filem terakhir beliau yang boleh dikatakan masih lagi baharu iaitu Anak Mami Nasi Kandaq (2016) dan Chowrasta (2015) membuktikan bahawa A. Razak mahu terus kekal relevan dalam industri meskipun kedua-duanya tidak mencatatkan kutipan pecah panggung (penulis harus jujur bahawa tidak berkesempatan menonton kedua-duanya di pawagam).

Justeru, apabila filem baharu beliau berjudul Soulmate Hingga Jannah yang mula ditayangkan di pawagam tempatan minggu lalu, penulis mengambil kesempatan itu untuk menontonnya.

Ditambah pula dengan barisan pelakon generasi baharu dan lama membuatkan penulis tidak teragak-agak mahu menontonnya.

Antara salah satu babak menarik dalam filem Soulmate Hingga Jannah.

Mempertaruhkan genre komedi romantik, penulis sifatkan Soulmate Hingga Jannah sebagai sebuah karya matang daripada A. Razak yang bergerak seiring dengan status dan usia beliau sendiri tanpa lagi terikat dengan acuan sama apabila memperkatakan tentang genre berkenaan yang pernah diarahkan beliau sebelum ini.

Secara keseluruhan, penulis dapat merasakan Soulmate Hingga Jannah memiliki premis yang cukup cantik yang mampu memberikan satu pendekatan baharu jika ia diolah serta diberikan kepada penekanan mendalam terhadap watak terutamanya.

Penulis tidak menolak judulnya sendiri adalah menggunakan terma yang sering digunakan oleh golongan milenial hari ini yang sering didengar tetapi untuk filem ini, alangkah baiknya jika judul itu menggambarkan keseluruhan cerita ini dengan tepat.

Penulis percaya judul itu sendiri sudah memberikan satu tanggapan bagaimana filem ini bergerak tetapi malangnya ia tidak menjadi seperti mana yang digambarkan.

Tidak keterlaluan dikatakan penulis meletakkan sedikit harapan untuk melihat filem ini menjadi sebuah filem cinta agung jika mengambil judulnya itu.

Bagi penulis, cerita cinta tempatan sudah banyak yang dikisahkan dengan pelbagai cara.

Raja Ilya (kiri) dan Nad Zainal.

Akan tetapi, seandainya watak protagonis utama filem ini iaitu Azmir (lakonan Taufik Batisah) ini digambarkan sebagai seorang lelaki sejati yang memiliki rasa cinta mendalam terhadap isteri yang telah meninggal dunia, penulis percaya Soulmate Hingga Jannah akan menjadi lebih kuat.

Dalam erti kata lain, watak Azmir itu mampu meruntuhkan satu tembok yang sebelum ini sudah banyak kali dipaparkan menerusi watak lelaki berkahwin dalam filem mahupun televisyen.

Azmir digambarkan begitu setia dan menyayanginya isterinya, Qalisya (Reen Rahim) sehingga berjanji untuk tidak mencintai wanita lain.

Pada hemat penulis, paparan itu sudah cukup baik walaupun lakonan Taufik masih banyak kelemahan dan tidak mampu memberikan keyakinan yang kuat sebagai Azmir.

Tetapi, pemaparan itu seolah-olah ‘dirosakkan’ apabila dengan mudah dia jatuh cinta sekali lagi dengan pembantunya, Rokiah (Raja Ilya).

Mengapa tidak sahaja menggambarkan Azmir sebagai lelaki kuat dari segi emosi dan jiwa yang mahu terus mempertahankan cintanya sehingga ke syurga meskipun dia mendapat tahu ada rakaman video tersembunyi oleh Qalisya yang membenarkan dia mencari cinta baharu.

Erra Fazira turut membuat kemunculan istimewa dalam filem itu.

Bukankah itu baru layak dikatakan soulmate hingga jannah? Dalam dunia moden hari ini, penulis melihat watak Azmir mampu memberikan satu persepsi baharu terhadap kesetiaan, kasih sayang dan cinta terutama dari sudut pandang lelaki muda.

Tetapi, hakikatnya, Azmir juga seperti lelaki lain apabila tidak mampu hidup tanpa cinta walaupun benar, perasaan cinta dan kasih sayang itu adalah fitrah dalam kehidupan manusia.

Pun begitu, Azhari Zain sebagai penulis, mampu menongkah arus dengan memberikan sesuatu yang berbeza.

Kemusykilan juga timbul dengan karakter Azmir itu sendiri yang begitu garang, sentiasa dalam tekanan dan serius sehingga memecat ramai wanita yang menjadi pembantu peribadinya.

Adakah gambaran itu kerana Azmir tertekan tidak dapat mencari cinta baharu atau dia tertekan kerana menahan nafsunya daripada tergoda dengan wanita cantik dan pintar yang dijadikan pembantu peribadinya?

Malah, dia juga digambarkan sebagai seorang pendera secara psikologi yang rasanya adalah sesuatu yang agak keterlaluan untuk filem ini sehingga ia sebenarnya menjatuhkan maruah wanita di mata lelaki terutama babak-babak Azmir menghina dan memaki hamun Rokiah.

Raja Ilya menerusi salah satu babak dalam Soulmate Hingga Jannah. 

Menyentuh tentang watak Rokiah pula, apakah pada zaman ini masih relevan untuk menggambarkan wanita dari kampung seperti itu?

Sehinggakan transformasi Rokiah itu juga menjadi sangat pantas dan mudah seolah-olah menggambarkan Rokiah tidak memiliki prinsip biarpun asalnya dari kampung dan memiliki perwatakan kasar.

Begitu juga babak mimpi Rokiah yang melawan dan membalas dendam terhadap Azmir. Mengapa tidak sahaja direalisasikan bagi membuktikan siapa sebenarnya Rokiah dan turut mampu memberikan perspektif baharu terhadap watak wanita di dalam filem terutama watak wanita kampung.

Bukannya masih lagi menjadi takut dan tunduk kepada lelaki yang berterusan menghinanya. Di mana prinsip Rokiah sebagai seorang wanita yang digambarkan sebagai kasar dan kononnya berprinsip?

Dari segi pemilihan pelakonnya juga boleh dipertikaikan Azmir, Ira (Erra Fazira), Jackie (Douglas Lim) dan Malik (Azhari Zain) digambarkan sebagai empat sahabat baik dari zaman universiti tetapi kalau dilihat kepada personaliti dan usia mereka, kesemuanya tidak selari.

Meskipun Soulmate Hingga Jannah adalah sebuah filem cinta, namun, jiwa dan emosi itu tidak dirasai dalam filem ini.

Bahkan, keserasian antara Taufik dan Raja Ilya juga tidak cukup kuat untuk menepati tema cinta itu sendiri.

Sesuatu yang wajar dipuji tentang Soulmate Hingga Jannah adalah aspek sinematografinya oleh Mohd. Izwan Daini yang boleh dikatakan menyelamatkan filem ini untuk terus ditonton terutama babak-babak di Chiang Mai, Thailand.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain