suria

‘The Magnificent Seven’ Salinan Karbon Yang ‘Bersih’

The Magnificent Seven cemerlang kerana tujuh teraju utamanya bijak mewarnakan karakter masing-masing.

FILEM: The Magnificent Seven

PENGARAH: Antoine Fuqua

PELAKON: Denzel Washington, Chris Pratt, Ethan Hawke, Vincent D’Onofrio, Lee Byung-Hun, Manuel Garcia-Ruflo, Martin Sensmeier dan Peter Sarsgaard

GENRE: Drama/Aksi

DURASI: 133 minit

PENGEDAR: Sony Pictures Releasing International

TARIKH TAYANGAN: 22 September 2016

UNTUK menerbitkan dan menghasilkan sebuah filem bergenre western atau ringkasnya filem koboi dalam persekitaran moden hari ini, ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang berisiko tinggi sementelah tidak banyak filem bercorak sedemikian mencatatkan keuntungan berlipat ganda buat studio filem di Hollywood.

Filem The Lone Ranger (2013) lakonan Johnny Depp dan Armie Hammer misalnya, filem western yang gagal di pasaran sekali gus tidak mampu memberikan keuntungan untuk Walt Disney Pictures selain mendapat ulasan negatif pengkritik.

Namun, ada juga beberapa naskhah yang mendapat kritikan positif pengkritik filem antaranya karya bekas pemenang Oscar, Quentin Tarantino menerusi filem The Hateful Eight (2015) dan Django Unchained (2012) yang juga sukses di panggung.

Lalu, apakah rasionalnya pengarah terkenal, Antoine Fuqua (Training Day, 2001 dan The Equalizer, 2014) mahu membikin semula filem western klasik, The Magnificent Seven yang pernah dihasilkan pada tahun 1960.

Barangkali ada yang tidak tahu, filem The Magnificent Seven versi asal itu juga merupakan filem yang diadaptasi daripada filem hebat, Seven Samurai (1954) arahan sutradara berprofil tinggi, Akira Kurusowa.

Kedua-dua filem itu juga merupakan karya yang diangkat tinggi kerana memiliki nilai estetika yang menjadikan ia sebagai filem yang dipelihara sebagai warisan dalam sinema dunia.

Jadi, berbalik kepada The Magnificent Seven versi baharu atau ringkasannya, Mag Seven, adakah ia menyamai standard atau lebih baik daripada kedua-dua filem itu.

Aura dan karisma Denzel Washington sememangnya masih unggul dalam filem The Magnificent Seven.

Sudah pasti penulis akan mengatakan tidak kerana dalam dunia sinema, agak sukar untuk mana-mana filem yang dibikin semula akan dapat mencapai standard filem asal.

Namun, dalam konteks Mag Seven, ia bukanlah sebuah filem yang buruk tetapi penulis masih mampu berpuas hati dan seronok menontonnya selama lebih dua jam di panggung.

Tidak dinafikan, filem western bukanlah genre kegemaran penulis tetapi apa yang menarik tentang filem versi ini apabila aktor berkarisma yang juga bekas pemenang Oscar dua kali, Denzel Washington dipilih menerajui Mag Seven sebagai Sam Chisolm.

Benar, pemilihan Washington kelihatan sedikit canggung kerana sebelum ini, tidak banyak filem western mempertaruhkan pelakon kulit hitam sebagai teraju utama disebabkan milieu (persekitaran) filem itu banyak berkisarkan tentang kehidupan dan permasalahan mereka dari kalangan berkulit putih.

Tetapi, Fuqua selaku pengarah ada alasan sendiri memilih Washington sebagai teraju utama.

Ternyata, pemilihan itu tidak silap kerana mengenali Washington, dia memiliki karisma dan aura luar biasa dalam setiap filem yang dibintanginya.

Ditambah pula dengan pelakon gandingannya, Chris Pratt sebagai Joshua Faraday yang namanya semakin meniti bibir peminat dan penerbit filem selepas membintangi Jurassic World (2015) dan Guardians of the Galaxy (2014), menjadikan Mag Seven memiliki kekuatan tersendiri.

Chris Pratt (kanan) sebagai Joshua Faraday dan Haley Bennett sebagai Emma Cullen.

Apa yang membuatkan Mag Seven ini seronok ditonton adalah pemilihan pelakon yang penulis rasakan bijak dalam membawakan watak masing-masing dengan karakter tersendiri.

Pembentukan watak mereka berada dalam landasan yang tepat dan seimbang sepanjang filem ini berputar.

Biarpun mempertaruhkan nama besar seperti Washington dan Pratt, tetapi pelakon lain seperti Ethan Hawke dan Vincent D’Onofrio yang berada dalam kelompok The Magnificent Seven itu tidak tenggelam apabila berada di samping dua nama popular itu.

Lebih-lebih lagi apabila mereka hadir dengan latar belakang yang berbeza dan menambahkan rencah untuk menjadikan Mag Seven sebagai santapan yang enak.

Dalam erti kata lain, penulis melihat Mag Seven sebagai filem adiwira sejati dalam erti kata sebenar.

Tanpa sebarang kuasa luar biasa, ketujuh-tujuh karakter ini hadir dengan penuh warna dan memperlihatkan kehebatan masing-masing dalam menentang musuh.

Hanya berbekalkan senjata konvensional, heroisme dan intergriti mereka cukup terserlah dan digambarkan dengan penuh berkeyakinan oleh Fuqua.

Filem The Magnificent Seven versi baharu ini tidak mengecewakan dan berada dalam liga tersendiri.

Seperkara tentang risiko yang perlu diambil oleh mana-mana pengarah untuk menghasilkan filem western adalah teknik pengarahan dan syot yang tepat untuk memastikan ia tidak lari daripada acuan tersebut.

Dalam konteks Mag Seven, Fuqua masih mengekalkan syot dan teknik yang diperlukan dalam filem western yang juga terletak kepada keberkesanan teknik suntingan dan skor muzik dalam membangkitkan babak-babak cemas.

Untungnya Hollywood selain memiliki kelebihan besar untuk membina set bagi mewujudkan semula cowboy town (bandar koboi), Amerika Syarikat masih lagi mempunyai permandangan indah untuk memperlihatkan realisme dunia western menerusi sinematografi oleh bekas pemenang Oscar, Mauro Fiore yang juga pengarah fotografi yang kerap bekerjasama dengan Fuqua.

Pun begitu, dari perspektif peribadi penulis, Mag Seven ini merupakan filem yang ‘bersih’ dari segala segi terutama lakonan dan lakon layarnya.

Tidak ada penggunaan perkataan yang kasar dan bahasanya juga tertib di mana ia sesuatu yang bagus tetapi bukan sesuatu yang konvensional untuk filem bercorak western.

Barangkali itu apa yang dimahukan oleh Fuqua dalam memberikan sentuhan berbeza untuk Mag Seven ini.

Jika ditanya kepada penulis, seandainya Mag Seven dibikin dalam pendekatan yang lebih moden dan kontemporari, ia akan menjadi filem yang memiliki impak besar berbanding menggunakan salinan karbon yang pastinya membuatkan audiens tidak dapat lari daripada membuat perbandingan dengan versi asal.

** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


The Magnificent Seven

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain