suria

Menangis Tonton Filem 'Pontianak Menangis'

Pontianak Menangis dibarisi pelakon berpengalaman.

FILEM: Pontianak Menangis

PENGARAH: Ismail Jejaka

PELAKON: Yassin, Hamdan, Ilya, Joey, Watie (Elite), Sathia, Rahim, Sally dan Bella.

GENRE: Seram/Komedi

DURASI: 100 minit

PENGEDAR: Heart N Soul Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 1 Oktober 2015

SUTRADARA Ismail Jejaka sebelum ini pernah menjadi bahan ketawa dan kritikan di media sosial apabila poster filem pertama arahannya berjudul Pontianak Menangis dikatakan ketinggalan zaman.

Biarpun Ismail menganggap perkara itu promosi kepada filemnya namun ia sedikit sebanyak memberi pandangan serong penonton terhadap isi kandungan karya tersebut.

Peluang menonton filem berkenaan pada majlis tayangan perdananya baru-baru ini, Pontianak Menangis jujurnya mengecewakan dan plot ditampilkan mengelirukan selain terdapat kelopongan dari segi aspek penceritaan, teknikal dan pengarahan.

Tidak tahu di mana silapnya namun yang pasti filem-filem terbitan Jalan Ampas yang diterbitkan 50 tahun lalu jauh lebih baik berbanding naskhah yang mengangkat genre seram dan komedi ini.

Situasi ini mungkin berlaku disebabkan Ismail tidak mempunyai pengalaman memandangkan itu adalah filem pertama arahannya dan seharusnya dia mendapatkan khidmat pengarah berkaliber atau nasihat pihak berpengalaman untuk menerajui filem ini.

Barisan pelakon Pontianak Menangis.

Babak pembukaan filem berkenaan tiada hujung pangkal dengan penampakkan pontianak sebelum bertukar ke babak di hadapan rumah Penghulu tanpa isi yang menyokong cukup mengelirukan.

Lebih mengecewakan sesuatu babak terlalu panjang tanpa sebarang isi yang kuat dan berkaitan dengan plot asal filem tersebut menambahkan kecelaruan pada Pontianak Menangis.

Sebagai contoh babak di sebuah kedai makan berlangsung hampir 10 minit lamanya sehingga penulis menyangka ini bukan filem seram tetapi sedang menyaksikan karenah pelanggan dan peniaga di sebuah restoran.

Stail pengarahan Ismail juga banyak dipengaruhi zaman 80-an dan tidak mempunyai jiwa selain teknik kamera boleh disifatkan sebagai malas dan sekadar ada.

Bagaimanapun masih terdapat perkara positif dalam filem berkenaan seperti mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada penonton namun kecelaruan plot dan jalan ceritanya membuatkan perkara itu tenggelam.

Pontianak Menangis sudah pun berada di pawagam sejak 1 Oktober lalu.

Membariskan pelakon berpengalaman seperti Yassin, Hamdan, Ilya, Joey, Watie (Elite) dan Sathia, filem yang berdurasi selama 100 minit ini turut menampilkan pelakon baharu dari Indonesia iaitu Sally dan Bella.

Pontianak Menangis mengisahkan tentang kehidupan sebuah kampung iaitu Kampung Selamat yang sering diganggu oleh kehadiran seorang pontianak ketika malam menjelma.

Dalam pada masa yang sama, berlaku kecurian harta benda dan penduduk merasakan hal tersebut disebabkan oleh pontianak walhal mereka tidak sedar bahawa kekacauan yang ditimbulkan berpunca daripada golongan manusia itu sendiri.

Pun begitu, disebalik pelbagai kelemahan filem pertama arahannya itu, Ismail dikira bertuah kerana naskah berkenaan menampilkan dibarisi pelakon berpengalaman yang pada dasarnya menyelamatkan naskah berkenaan daripada terus tenggelam.

Pontianak Menangis.

Artikel Sebelum

Adiba Yunus Kekuatan 'Badi'

Artikel Berikut

Artikel Lain