SUSULAN penularan foto ditahan pihak berkuasa, pelawak Saiful Apek menjelaskan situasi itu hanyalah salah faham yang tidak sepatutnya berlaku.
Saiful atau Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, menjelaskan dia tidak ditahan sebaliknya pihak polis cuba meleraikan pertelingkahan melibatkan dia dan seorang individu tidak dikenali.
Jelas Saiful, insiden itu berpunca selepas individu terbabit memperlekeh filem lakonannya iaitu 6 Jilake selain mengutuk pengarahnya iaitu Aziz M Osman.
“Individu dalam foto itu memang saya cuma situasi sebenarnya saya bukan ditahan tapi sebaliknya pihak polis sedang meleraikan salah faham.
Saiful menjawab dakwaan ditahan pihak berkuasa pada Selasa.
“Tapi saya bukan bergaduh, memang nampak dalam gambar seperti bergaduh tapi tidak.
“Apa membuatkan saya terusik apabila dia sebut nama Abang Aziz selain mengutuk filem itu sebagai sampah.
“Kalau setakat sebut nama saya, mungkin masih boleh kawal tapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Saiful Apek kena tahan?
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Saiful Apek sabar tunggu kepulangan sahabat, Yassin masih ditahan di Arab Saudi
Saiful berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Terbaek Raya mStar yang diadakan di The Agam Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Saiful memberitahu ketika itu dia menghadiri majlis rumah terbuka dianjurkan Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain di Cheras pada Isnin lalu.
Tidak semena-mena, seorang individu tidak dikenali melakukan provokasi terhadap filem lakonannya itu sehingga membuatkan dia hilang sabar.
“Saya pun bangun dan beredar kerana tidak mahu menganggu majlis.
Memang nampak dalam gambar seperti bergaduh tapi tidak.
SAIFUL APEK
PELAWAK
“Saya ingatkan habis di situ, tapi bila saya ke parkir kereta, individu masih melakukan provokasi sehingga datangnya pihak polis meleraikan pertelingkahan di antara kami,” ujarnya.
Saiful bagaimanapun memohon maaf kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat kerana membuatkan mereka bimbang dengan dakwaan dia ditahan pihak berkuasa.
“Saya harap semua orang jelas dengan kenyataan ini dan saya mohon semua bertenang terutamanya ahli keluarga dan sahabat terdekat yang terkejut mendengar apa berlaku.
Saiful mohon maaf sekiranya mengundang kebimbangan ramai pihak.
“Cuma apa paling saya risau apabila ramai menghubungi ahli Senario terutamanya Azlee yang kita tahu mempunyai masalah jantung,” katanya.
Pada Selasa, mStar menerima kiriman foto memperlihatkan kelibat seorang pelawak ditahan pihak berkuasa.
Individu yang mengirim foto berkenaan mendakwa pelawak ditahan itu merupakan ahli kumpulan Senario iaitu Saiful Apek.
Dalam foto berkenaan, Saiful yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu bersama seorang lagi individu dilihat ditahan oleh dua anggota beruniform di satu lokasi tidak diketahui.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!