suria

“Netizen sekarang ni dah gila” - Almy Nadia tak tahu Fizz Fairuz nak saman siapa

Almy mahu pemfitnah membuat permohonan maaf. Foto Instagram @fizzalmy

PELAKON Datin Almy Nadia berpendapat wajar sekiranya tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang berani memfitnah golongan selebriti.

Menurut Almy atau nama sebenar Ungku Almy Nadia Ungku Aminuddin Shah, 33, tindakan saman itu bertujuan untuk mempertahankan hak mereka yang sering menjadi mangsa netizen khususnya dengan penyebaran berita palsu.

"Sebagai artis saya rasa perlu kita ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat fitnah ini, lebih-lebih lagi jika isu tersebut membabitkan maruah dan nama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lebih baik bunuh saja suami saya” – Almy Nadia nafi Fizz Fairuz ditangkap khalwat

"Saman itu bukan sebab nak kaya, cuma mahu netizen jadikan ia sebagai pengajaran. Sebenarnya sekiranya mereka membuat permohonan maaf secara terbuka pun sudah memadai," katanya kepada mStar Online.

Menerusi Instagram pada Isnin, suaminya yang juga pelakon Datuk Fizz Fairuz ada memuat naik status mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat kenyataan fitnah kononnya dia merupakan lelaki bergelar 'Datuk Seri' yang ditangkap berkhalwat di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Status yang dimuat naik Fizz Fairuz di Instagram.

"Ada orang nak kena saman!!! Standby. Mari kita tengok siapa menang game ni. Nak main-main dengan aku... Tunggu!," tulisnya.

Ditanya mengenai status yang dimuat naik Fizz itu, Almy bagaimanapun berkata dia tidak mengetahui siapakah individu yang dimaksudkan suaminya itu.

Namun tegas Almy, dia secara peribadi bersetuju jika tindakan undang-undang dilakukan terhadap pihak yang melakukan atau menyebar fitnah.

Rata-rata pengikut di Instagram Fizz Fairuz turut bersetuju jika isu ini dibawa ke mahkamah, malah beberapa rakan artis antaranya Sharifah Shahirah dan Mohd Mentor turut menyokong tindakan pelakon filem Munafik 2 itu.

Dalam pada itu, Almy berkata dia dan suami mengetahui tentang berita palsu itu setelah ia disebarkan oleh satu akaun Instagram dan hanya tertawa membaca fitnah tersebut.

Penjelasan Almy berhubung tuduhan netizen kononnya Fizz merupakan Datuk Seri yang ditangkap khalwat.

Bagaimanapun, dia perlu tampil menjelaskan keadaan sebenar kerana tidak mahu timbul salah faham dalam kalangan peminat.

"Saya dan suami okay sahaja apabila tahu berita palsu ini, mula-mula terkejut juga sebab kami tahu siapa yang ditangkap itu. Tak fasal-fasal nama Fizz pula yang dipetik mereka (netizen).

"Status yang saya muat naik semalam adalah untuk memberi penjelasan kepada masyarakat kerana isu begini boleh memburukkan nama dan maruah.

"Sejujurnya saya agak geram. Netizen sekarang ni dah gila... gilakan perhatian! Orang macam ni nak bagi nasihat pun dah tak jalan," katanya.

Fizz kini sedang menjalani penggambaran di Terengganu.

Usaha mStar Online menghubungi Fizz Fairuz tidak berjaya dan difahamkan dia kini sedang menjalani penggambaran di Terengganu.

Sebelum ini menerusi laporan sebuah portal, seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' dan pasangannya antara yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pulau Perhentian.

Lelaki berusia 40 tahun dan pasangannya berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah chalet dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi hingga 5.30 pagi itu.

Menurut sumber, serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang memaklumkan kehadiran pasangan itu dari Kuala Lumpur.

Fizz Fairuz, Almy Nadia

Artikel Lain