suria

[V] “Dulu kaya sekarang tak sangat” – Iqbal Zulkefli terpaksa potong komitmen, kini berbelanja RM50,000 sebulan

TANPA berselindung, usahawan Ahmad Iqbal Zulkefli tidak malu berkongsi dia terpaksa mengurangkan perbelanjaan bulanan kerana duit dalam simpanan sudah semakin menipis

Kata Iqbal, 31, keputusan itu dibuat selepas menyedari keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan perlu lebih bijak mengurus kewangan.

“Ada sesetengah orang ingat saya ini seorang yang berada, hakikatnya tidak pun kerana ada banyak komitmen yang saya kurangkan.

Iqbal mula kurangkan perbelanjaan bulanan.

“Dulu kaya tapi sekarang tak sangat. Sebelum ini komitmen saya lebih RM100,000 tapi sekarang saya dah kurangkan menjadi RM50,000.

“Ekonomi saya pun bukanlah sekaya Datuk Seri Aliff Syukri. Kalau boleh nak sahaja pakai barang tiruan tapi saya terpaksa tunjuk saya ada barang berjenama demi imej sebagai seorang usahawan,” katanya kepada mStar.

Bercerita lanjut, Iqbal memberitahu dia tidak mahu imejnya sebagai ahli perniagaan terjejas meskipun perlu berjimat dalam perkara lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Iqbal Zulkefli pernah habiskan RM1 juta dalam seminggu, sudah bosan hidup mewah 

ARTIKEL BERKAITAN: Iqbal Zulkefli sedar diri tak kacak, foto bersama Diana Danielle hanya gimik lagu baharu

Malah, katanya, sebahagian besar pendapatan kini dilaburkan untuk mengekalkan penampilan diri agar sentiasa kelihatan kemas dan berkeyakinan ketika berdepan orang ramai.

“Buat masa sekarang saya banyak laburkan duit terhadap penampilan seperti pakaian, masuk kelas cara berjalan, makan dan berkomunikasi dengan betul.

“Saya juga pakai set penjagaan kulit yang sebotol harganya RM6,000, manakala untuk minyak wangi pula saya ada sehingga 400 koleksi.

“Saya cuba untuk hidup rendah diri seperti Khairul Aming, tapi tabiat saya ini sangat sukar diubah,” jelasnya.

Iqbal utamakan imej sebagai seorang usahawan.

Sementara itu, Iqbal mengakui tidak kisah sekiranya ada pihak yang mempertikaikan bentuk badannya asalkan dia masih mampu berfesyen mengikut cita rasa sendiri.

“Walaupun ada yang minta saya kurus dulu baru boleh berfesyen, bagi saya proses itu memakan waktu sebab banyak kali saya cuba nak kurus namun gagal.

“Jadi biarlah saya berisi sedikit, lagipun saya suka makan… susah nak kawal,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain