suria

Nabil Ahmad imbau kenangan rumah kampung, pasang niat bina madrasah... Jadi pahala buat ibu

Nabil mengimbau kenangan sewaktu membesar di Mambau, Negeri Sembilan.

PELAWAK dan penyampai radio Nabil Ahmad menyimpan hasrat untuk menjadikan rumah milik keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan sebagai madrasah iaitu tempat pengajian untuk mendalami ilmu agama Islam. 

Kata Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 42, usaha itu sedikit sebanyak dapat memberikan ganjaran pahala berterusan buat ibunya iaitu Rohaizah Abdul Latiff. 

“Tinjauan rumah, simpan sini buat kenangan. Rindulah dekat rumah sendiri. Rumah lama itu biasa je, tapi dalam dia penuh rasa.

Nabil (kanan) sekeluarga meraikan Aidiladha di kampung halaman.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, kita jadikan rumah ini madrasah. Dapat pahala mak dan adik-beradik mak,” katanya. 

Nabil berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok mliliknya. 

Dia bersama ahli keluarganya pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Sabtu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Ahmad ‘down’ direhatkan, pesanan ibu buat rasa tenang

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Ahmad menangis dalam masjid dapat surat kena gantung tugas, terfikir masa depan anak-anak

Dalam hantaran dibuat, Nabil dilihat membuat tinjauan di sekeliling rumah tersebut yang dipercayai dirakam oleh isterinya sendiri iaitu Nazirah Ayub. 

Mengimbau kenangan lama, Nabil menceritakan kembali suasana membesar di rumah itu bersama ahli keluarga yang lain. 

Malah dia sempat berseloroh menunjukkan gaya bagaimana situasi atap bocor apabila cuaca hujan. 

“Sejuk rumah ni, malam-malam sejuk sangat. Ini dulu bilik bujang saya. Dulu bilik ini warna biru. Perabot ini bukan milik saya, dah banyak barang-barang orang lain dalam bilik ni. 

“Dulu sini atap pun bocor, kalau nganga air hujan boleh masuk dalam mulut,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain