SELEPAS pemergian suami tiga tahun lalu, penyanyi veteran Salamiah Hassan tidak berkeinginan untuk mencari pengganti lain.
Ini kerana Salamiah, 74, hanya mengharapkan supaya dia dapat kembali bersama dan bertemu semula suaminya iaitu Allahyarham Gerry Hughes di syurga.
“Saya tiada masa untuk dikejar, saya duduk di rumah sahaja. Saya mahu bertemu dengan suami di syurga. Kalau diizinkan Allah.
“Dia seorang lelaki yang baik, dia baca al-Quran dua kali malah dia lebih tahu daripada saya (bacaan al-Quran).
Salamiah dan Gerry bernikah pada September 2022.
“Hidup ini tidak mudah, Allah itu beri apa yang saya mahukan. Saya terima takdir ini (pemergian suami). Takkan saya nak persoalkan kepada Allah,” katanya kepada mStar.
Salamiah berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Salamiah memberitahu dia pernah menolak lamaran Gerry untuk mengahwininya kerana mahu membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal.
Namun selepas mengetahui lelaki itu menghidap kanser, Salamiah terus terbuka hati menerima lelaki berasal Australia itu dengan tujuan untuk menjaganya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kembali bergelar isteri pada usia 71 tahun, lelaki Australia berjaya tawan hati Salamiah Hassan
ARTIKEL BERKAITAN: Suami Salamiah Hassan meninggal dunia selepas 2 bulan berumah tangga
“Saya kenal arwah suami sudah 20 tahun, dia lamar saya untuk menjadi isteri tetapi saya tolak.
“Selepas tahu dia sakit, baru saya bersetuju untuk berkahwin dengannya. Saya rasa berbangga dapat menjaganya sepanjang dia sakit, lelaki yang mencintai saya dan berjuang sepanjang hidupnya untuk hidup bersama.
“Saya menikah dengannya bukan kerana fizikal. Kansernya sudah merebak ke paru-paru, prostat dan seluruh tubuh,” ujarnya.
Berkongsi kenangan bersama suami, penyanyi lagu Gelombang itu berkata, dia masih menyimpan nota suara milik Allahyarham di telefon pintarnya.
Saya tiada masa untuk dikejar. Saya mahu bertemu dengan suami di syurga. Kalau diizinkan Allah.
SALAMIAH HASSAN
PENYANYI
Biarpun sedih setiap kali mendengar, namun bagi Salamiah itu merupakan pengubat rindunya terhadap Allahyarham.
“Saya masih ada voice notes (nota suara) dia di dalam telefon bimbit dan pernah juga rasa seperti mahu padam semuanya. Tetapi saya fikir kalau padam, saya tidak akan dengar lagi suaranya.
“Saya tidak mendengar voice notes itu setiap hari kerana ia sangat menyakitkan. Namun apabila saya terlalu rindu kepadanya, saya akan mendengar,” jelasnya.
Untuk rekod, Salamiah mendirikan rumah tangga dengan Gerry pada 1 September 2022 di sebuah majlis yang diraikan sederhana di Tasmania, Australia.
Atilia (kiri) dan Salamiah (kanan) bakal menjayakan Konsert Gelombang Bahagiaku pada Ogos depan.
Bagaimanapun, selepas dua bulan bernikah, lelaki asal Australia itu meninggal dunia akibat kanser.
Sebelum itu, Salamiah pernah berkahwin dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Raja Atilia dan Raja Ahmad Shah.
Dalam perkembangan lain, Salamiah bakal mengadakan persembahan bersama anak perempuanya, Atilia di Konsert Gelombang Bahagiaku pada 16 Ogos depan di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Tiket Konsert Gelombang Bahagiaku sudah mula dijual pada pagi Selasa dengan harga serendah RM150 hingga RM350.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!