suria

Awie pernah hidap kanser buah pinggang, empat bulan fikir sebelum setuju jalani pembedahan

Awie bersyukur kanser buah pinggang dilaluinya sebelum ini sudah pulih selepas jalani pembedahan.

PENYANYI Datuk Awie memberitahu dia pernah disahkan menghidap kanser buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.

Berkongsi mengenai perkara itu, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana penyakit tersebut dikesan lebih awal dan berjaya dibuang melalui pembedahan.

"Saya ada masalah di bahagian buah pinggang, ada tumor dan doktor sahkan itu adalah kanser tapi Alhamdulillah dikesan lebih awal.

size NP 1 (40)

Awie berfiikir selama empat bulan sebelum bersetuju untuk jalani pembedahan.

"Saya sudah pun buang tumor tersebut. Masa nak beritahu saya ketika itu pun, doktor macam tergagap-gagap. Dia kata, ia sangat mencurigakan dan bila buat pemeriksaan, dia cakap yang salah satu buah pinggang saya perlu dibuang.

"Bila saya dengar dia kata macam itu saya rasa macam ‘waktu’ saya dah nak habis," katanya.

Awie berkongsi perkara itu ketika bersama segmen ‘Pagi On Point’ di stesen radio Kool 101.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas seminggu, Awie keluar hospital tanpa mengetahui penyakit dialaminya

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata saksi pertemuan Awie dan 2 anak, bekas isteri pun turut serta - “Terima kasih ibu anak-anakku”

Dalam pada itu vokalis kumpulan Wings itu berkata, dia tidak mahu melakukan pembedahan membuang organ buah pinggangnya ketika itu dan meminta pandangan daripada doktor yang merawatnya.

Doktor tersebut kemudian memberi saranan kepada Awie untuk berjumpa dengan doktor pakar berhubung penyakit berkenaan.

"Saya termenung lama dan terus cakap, doktor tolong bagi saya peluang untuk fikirkan ikhtiar lain.

"Dia pun suruh saya pergi satu hospital dan mengesyorkan saya dengan seorang doktor pakar.

size NP 1 (41)

Awie sudah pulih daripada kanser buah pinggang.

"Di sana pula, doktor pakar itu pun maklumkan pada saya bahawa peratusan saya menghidap kanser adalah sebanyak 95 peratus," jelasnya.

Selepas empat bulan mendapatkan rawatan di hospital tersebut, Awie akhirnya bersetuju untuk melakukan pembedahan membuang tumor selepas dipujuk oleh isterinya.

"Empat bulan selepas itu baru saya buat keputusan untuk buat pembedahan. Isteri saya pun selalu pujuk untuk buat jadi saya pun setuju untuk teruskan.

"Alhamdulillah pembedahan itu berjaya dan tumor sepanjang 2.7 sentimeter berjaya dibawa keluar daripada buah pinggang saya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain