suria

Fazura, Fattah tak rancang tambah anak... Enggan ganggu komitmen kerja

Fazura dan Fattah fokus pada kerjaya dahulu sebelum rancang tambah anak.

PASANGAN pelakon Nur Fazura dan Fattah Amin tiada perancangan untuk menambah cahaya mata kedua dalam masa terdekat.

Kata Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 40, dia dan suami bersepakat mengenai perkara itu disebabkan komitmen terhadap kerja dan enggan mengganggu sebarang tawaran kontrak.

“Buat masa ini memang tiada berita mengenai kehamilan yang ingin dikongsi. Saya dan Fattah mengambil langkah merancang keluarga kerana kesibukkan kami.

fazura 1

Fazura dan Fattah bersama anak mereka.

“Kalau boleh tak naklah hamil dalam keadaan masih bekerja. Lagipun kami perlu patuh dengan kontrak yabg sudah ditandatangani.

“Saya tidak mahu disebabkan hamil, komitmen terhadap kerja terjejas,” katanya kepada mStar.

Pasangan ini ditemui ketika majlis tayangan perdana filem lakonan mereka berjudul Pendekar Awang Darah: Indera Gajah yang berlangsung di Putrajaya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin belum puas cabar diri, peminat mahu lebih banyak watak aksi selepas kejayaan ‘Mat Kilau’

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fattah ambil tahu dengan siapa Fazura berkawan tapi tak kongkong isteri... “Perlu minta izin untuk keberkatan”

Untuk rekod Fazura dan Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 33, mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya, 3 tahun.

Dalam filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu Fazura memegang watak sebagai Sayang yang juga isteri kepada Awang lakonan Fattah.

Berlakon sebagai seorang srikandi yang mahir berkuda dan memanah, Fazura amat berhati-hati menjayakan setiap babak kerana bimbang boleh menjejaskan kesihatan wanita.

Saya tidak mahu disebabkan hamil, komitmen terhadap kerja terjejas

NUR FAZURA

PELAKON

“Memang setiap hari saya berdoa semoga tak jatuh bila menunggang kuda sebab tidak mahu organ peranakan terjejas. Takut tak dapat nak menimang cahaya mata lagi.

“Syukur tiada sebarang masalah di lokasi. Selain pernah belajar menunggang kuda masa kecil, saya juga ada keserasian dengan kuda yang ditunggang itu,” ujarnya.

Dalam masa sama, aktres ini juga meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang menjayakan watak sebegitu.

fazura 3

Fazura teruja diberi peranan sebagai Sayang.

Malah, dia tidak menolak sekiranya watak berkenaan dikembangkan lagi jika ada sambungan dalam filem akan datang.

“Saya suka dengan watak dalam filem ini. Saya juga seorang yang memperjuangkan kisah wanita. Pastinya seronok membawakan watak sebegini,” jelasnya.

Selain Fattah dan Fazura, filem ini turut menampilkan pelakon lain seperti Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Amir Ahnaf, Nam Ron, Heliza Helmi dan Amerul Affendi.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bakal ditayangkan bermula 11 Januari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain