suria

Cubaan pujuk sertai semula Sepahtu Reunion tak wujud, Shuib tetap dengan pendirian - “Mereka tahu sebabnya”

Buat masa ini Shuib tiada perancangan kembali menyertai program Sepahtu Reunion.

PELAWAK dan penyampai radio Suria FM Shuib menyangkal dakwaan wujud sesi pujuk memujuk agar dia kembali menyertai program Sepahtu Reunion seperti mana pernah diberitahu oleh salah seorang anggotanya, Jep menerusi beberapa temu bual sebelum ini.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 39, sebaliknya menjelaskan Sepahtu sedia maklum mengenai keputusannya dan punca dia tidak mahu kembali menyertai program tersebut buat masa ini.

"Saya pun pelik kerana sebelum ini tidak ada pun sesi pujuk memujuk seperti didakwa. Mereka tahu kenapa saya tidak boleh ke arah itu (menyertai Sepahtu Reunion).

"Mereka kenal saya, kalau saya kata tidak, maka tidak akan berlaku," katanya kepada mStar.

shuib 3

Shuib kembali membuat persembahan pentas dalam Ubi Superstar Live.

Shuib ditemui ketika acara Konsert Jelajah Suria yang berlangsung di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya pada Sabtu.

Bagaimanapun kata Shuib dia tidak menolak kemungkinan dia akan kembali bersama Sepahtu jika digerakkan hati suatu hari nanti.

"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang. Kalau Allah gerakkan hati untuk kembali bersama, mungkin ia akan terjadi. Kalaulah Sepahtu Reunion kembali terjadi, saya anggap ia sesuatu yang sangat luar biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib jarang muncul di TV bukan sebab ‘demand’ tapi cari keseronokan ketika bekerja

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib kena tempias gara-gara ucap tahniah kepada Syamsul, siap ugut boikot... “Kita raikan orang tengah bahagia”

"Sebelum ini pun saya buat keputusan keluar daripada rancangan tersebut selepas mengambil kira pelbagai aspek. Saya bulat dengan keputusan itu dan saya ada pegangan sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Shuib yang kini kembali ke pentas lawak menerusi program Ubi Superstar Live mengakui berasa kekok menghiburkan peminat selepas sekian lama berehat.

Bergandingan dalam sebuah kumpulan baharu juga bukan sesuatu yang mudah termasuk mewujudkan keserasian bersama ahli-ahli lain.

Saya bulat dengan keputusan itu dan saya ada pegangan sendiri.

SHUIB

PELAWAK/PENYAMPAI RADIO

"Hampir dua tahun saya tidak terlibat dengan sebarang program pentas atau persembahan live begitu, memang agak sukar untuk kembali beraksi. Tambah lagi dengan gandingan orang baharu yang sebelum itu tidak pernah bekerjasama.

"Jadi saya cuba habiskan banyak masa bersama rakan-rakan lain supaya wujud keserasian antara kami. Dalam masa sama tidak adil juga jika penonton hendak bandingkan program ini dengan rancangan Sepahtu Reunion kerana ia sudah berada dalam kedudukan tersendiri.

“Saya bersama Sepahtu Reunion selama lima tahun, jadi chemistry itu memang sudah ada. Apa sahaja yang kami buat menjadi di atas pentas,” ujarnya.

shuib 2

Shuib ketika acara Konsert Jelajah Suria di Petaling Jaya.

Tambah Shuib meskipun kembali aktif dalam program lawak, dia bagaimanapun enggan terlibat dengan sebarang bentuk pertandingan.

"Untuk menyertai pertandingan memang tidak. Bukan lagi masanya untuk saya terlibat dengan program yang memberi tekanan sebegitu.

“Sekarang ini biarlah saya bahagia membuat lawak untuk orang. Tak perlu fake dalam kerja untuk menghiburkan orang,” ujarnya.

Selain Shuib, rancangan Ubi Superstar Live turut disertai oleh Ajak serta kumpulan Ubi yang dianggotai oleh Namie, Fad dan Sharif.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain