suria

Isu dengan Sophia Albarakbah demi popularkan ‘Ku Akad Kau Dengan Bismillah’, Aliff Aziz tak rela terbabit gimik murahan 

Aliff nafi gosip yang berlaku adalah gimik untuk drama.

PELAKON Aliff Aziz menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan isu dia dikaitkan dengan pelakon Sophia Albarakbah adalah semata-mata gimik bagi mempromosikan drama lakonan mereka iaitu Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Aliff, 32, sebaliknya menjelaskan dia tidak akan sesekali memberi sebarang persetujuan sekiranya diminta oleh mana-mana produksi untuk membuat gimik murahan semata-mata meraih perhatian penonton.

Kata Aliff, dia lebih gembira sekiranya drama lakonan mereka mendapat tempat di hati penonton disebabkan kehebatan jalan cerita itu sendiri.

"Insya Allah benda ni bukan gimik kerana saya pun sebagai seorang pelakon, jika pihak produksi meminta kita buat gimik untuk menaikkan sesebuah drama, saya tidak akan bersetuju.

aliff2 - 1

Aliff enggan membuat gimik murahan.

"Saya berharap drama ini dapat sambutan kerana naskhah itu sendiri dan bukannya daripada sebarang gimik," katanya kepada mStar.

Aliff berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama baharu TV3 bulan Februari yang diadakan di Park 28, Mutiara Damansara, Damansara pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] "Bella tak melenting kalau tak betul" - Aliff Aziz minta Sophia Albarakbah muncul beri penjelasan, akur pemintaan isteri untuk dapat balik kepercayaan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sophia Albarakbah 'ghaib' di sidang media 'Ku Akad Kau Dengan Bismillah', produksi beri alasan sibuk penggambaran sebelum ke Jakarta

Dalam pada itu, Aliff memberitahu perkara yang berlaku ini bukanlah sesuatu yang menggembirakannya, malah dia menekankan bahawa tiada langsung terkait dengan gimik yang dirancang.

"Perkara yang berlaku ini bukan satu benda yang gembira untuk saya. Sekali lagi saya tegaskan, ia bukan gimik pemasaran atau kami saja nak buat kecoh.

Jika pihak produksi minta kita buat gimik untuk menaikkan sesebuah drama, saya tidak akan bersetuju.

ALIFF AZIZ

PELAKON

"Perkara ini telah pun berlaku dan saya harap kita semua boleh terus ke depan tanpa memperkatakannya lagi," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang drama lakonannya itu, Aliff berkongsi dia bakal membawakan watak sebagai Luth Mikhail dan berusaha untuk memberikan kelainan.

aliff1 - 1

Aliff dan Sophia bakal bergandingan dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

"Alhamdulillah watak saya tidaklah nak kata terlalu senang atau susah. Tetapi cabarannya disebabkan watak genre romantik komedi ini, saya perlu membuatkan ia kelihatan lain seperti watak-watak yang ada sebelum ini," katanya.

Selain Aliff, drama bersiri 28 episod ini turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Sophia Albarakbah, Halim Radzi, Shah Iskandar, Jasmin Hamid, Zaki Azeman, Jasmine Suraya dan Hilal Azman.

Ku Akad Kau Dengan Bismillah akan disiarkan bermula 6 Februari 2023, setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam di TV3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain