suria

“Sejak hari pertama IVF saya kongsi perjalanan zuriat ini” - Madammu enggan sorok berita kehamilan walau kandungan baru 5 minggu

Madammu teruja berkongsi berita gembira bersama pengikutnya.

USAHAWAN kosmetik, Eriyca Baiduri Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Madammu tidak kisah berkongsi berita gembira tentang kehamilannya walaupun usia kandungan baru lima minggu.

Madammu, 32, berkata, sejak melalui proses in vitro fertilization (IVF) pada April lalu, dia memang sudah berkongsi kepada pengikutnya tentang perjalanan mendapatkan zuriat ini.

"Sejak hari pertama melakukan IVF saya memang sudah berkongsi semuanya kepada pengikut yang sama-sama berjuang untuk mendapatkan zuriat.

"Jadi, bila dah dapat keputusan takkan saya nak diamkan dan tak beritahu kepada mereka," katanya kepada mStar.

Bercakap mengenai awal kehamilan, usahawan ini menyedari nasihat segelintir orang tua yang mengatakan sebaiknya berita kehamilan perlu dirahsiakan dahulu.

madam11

Madammu percaya pada rezeki.

Namun, penaja program Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) ini menganggap jika memang sudah ditakdirkan rezeki itu buatnya, dia yakin semuanya pasti baik-baik sahaja.

"Bagi saya senang sahaja, kalau dia memang rezeki saya, insyaAllah dia akan membesar dengan baik dalam perut.

"Itu cara saya berfikir. Bukan ingin menidakkan segala kemungkinan, tetapi saya lebih suka untuk berfikir yang baik-baik," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkat sayang anak tiri, Madammu live Facebook sampai jadi jutawan... Ini 5 fakta ahli perniagaan cantik penaja AJL36

ARTIKEL BERKAITAN: Ditegur jarang pakai barang kemas, Madammu kata ‘rasa tak layak’... netizen syak aksesori dipakai lebih mahal dari emas

madam2

Madammu dan suami gembira menantikan kelahiran zuriat.

Meskipun kini di awal kehamilan, Madammu berkata dia masih lagi meneruskan kerja seperti biasa namun menghadkan pergerakan tidak seperti kebiasaan.

"Untuk trimester pertama ini, saya tidak boleh bergerak lasak seperti pergi bercuti dan sebagainya.

"Saya tetap pergi bekerja seperti biasa, tetapi sudah tidak melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak atau pergi pasar," jelasnya.

Sementara itu, Madammu turut memberitahu suami dan tiga anak tirinya turut gembira menerima perkhabaran mengenai kehamilan itu.

"Berita kehamilan ini bukan hanya membuatkan saya dan suami teruja, malah anak-anak turut gembira lebih-lebih lagi anak bongsu kami.

"Sejujurnya saya lakukan IVF ini adalah kerana Ahmadhi yang sering mendesak mahukan adik," ujarnya.

Terdahulu, Madammu memuat naik berita gembira kehamilannya menerusi perkongsian di TikTok sambil ditemani oleh suami Muhammad Azri Che No.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain