suria

Banyak terima ‘job’ mengacara... Ain Edruce jawab dakwaan anak emas TV3

Ain Edruce syukur banyak terima tawaran mengacara.

REZEKI Ain Edruce dalam bidang pengacaraan semakin menyerlah tahun ini apabila dia diberi tanggungjawab mengendalikan dua program iaitu I Can See Your Voice Malaysia (ICSYMY) musim kelima dan Melodi.

Gara-gara tawaran mengacara dua program besar itu, ada menyangka Ain merupakan anak emas atau artis kegemaran stesen televisyen TV3.

Menjawab dakwaan tersebut, Ain atau nama sebenar Nurulain Edruce, 31, berkata dia menganggap peluang diberikan itu sebagai rezeki selepas melahirkan anak pertama pada tahun lalu.

"Mana ada saya ini anak emas. Sebenarnya ada banyak lagi pengacara yang berpotensi dekat luar sana. Mungkin ini dinamakan rezeki Ain banyak dekat TV3.

"Alhamdulillah selepas bersalin rezeki saya memang lain macam. Itulah katanya rezeki suami dan anak," katanya kepada mStar.

Bercakap mengenai pengalaman pertama mengendalikan Melodi, Ain mengakui gementar mengacarakan program itu secara langsung kerana bimbang tidak dapat melakukan tugasan dengan baik.

ain melodi

Ain kini merupakan pengacara Melodi baharu bagi menggantikan Nabila Huda.

"Gembira dan bersyukur kerana selama ini saya memang meletakkan keinginan untuk menjadi pengacara Melodi. Sejujurnya rasa gementar itu memang ada kerana saya tidak tahu boleh melakukannya atau tidak.

"Setiap pengacara itu mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikan rancangan. Cara pengacaraan saya mungkin berbeza dengan pengacara sebelum ini.

"Komedi itu memang ada cuma sedikit. Sekiranya ingin bawa sepenuhnya komedi, tidak juga kerana saya bukan pelawak, cuma saya lebih sedikit santai," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Ain Edruce dijangkiti Parainfluenza, suhu badan kerap turun naik

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tegur Ain Edruce boros ‘shopping’ barang anak, ekonomi tak menentu - “Kadang-kadang tak perasan beli benda yang sama”

Sementara itu, penampilan sulungnya itu turut mengundang pelbagai reaksi penonton yang rata-rata mengkritik tentang suaranya yang kedengaran seperti menjerit.

Mana ada saya ini anak emas. Sebenarnya ada banyak lagi pengacara yang berpotensi dekat luar sana. Mungkin ini dinamakan rezeki Ain banyak dekat TV3

AIN EDRUCE

PENGACARA, PELAKON

Ain bagaimanapun berkata teguran dan kritikan itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya pelakon drama Camelia itu menjelaskan perkara tersebut berlaku disebabkan masalah kotak suaranya.

ain edruce

Ain menyifatkan peluangnya bekerja dengan TV3 sebagai rezeki suami, Amirul Hafiz Mustaffa dan anak, Soraya.

"Sebenarnya kalau orang betul-betul kenal saya di luar juga memang seperti ini. Suara kedengaran seperti menjerit kerana saya mempunyai sedikit masalah dengan peti suara. Dahulunya suara saya tidak serak seperti sekarang, tetapi entah bagaimana suara saya tiba-tiba berubah.

"Disebabkan itu saya memerlukan lebih banyak tenaga untuk bercakap, jadi kadangkala kedengaran seperti menjerit sedikit. Mungkin mereka yang berkata begitu kerana tidak biasa melihat saya mengacara, tetapi nanti lama-lama mungkin sudah terbiasa," ujar isteri kepada Amirul Hafiz Mustaffa.

Antara program lain yang pernah dikenalikan Ain di TV3 ialah Immortal Songs: Lagu Lama Menyegat Semula dan Lagu Cinta Kita musim tiga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain