suria

Penyanyi nasyid tanam ganja didakwa esok

Menurut Fakhrudin suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya.

SELEPAS seminggu berada di lokap, penyanyi nasyid dan komposer popular yang ditahan kerana mengusahakan 'ladang mini' tanaman ganja akhirnya akan didakwa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis.

“Dia dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

ARTIKEL: Artis nasyid popular berdepan hukuman gantung, 17 pokok ganja ditanam dalam rumah

Sebelum ini mStar melaporkan kejayaan polis membongkar kegiatan komposer berkenaan menanam pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara.

Dalam serbuan pada 24 Mac lalu, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Rampasan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM10,200.

Suspek berusia 47 tahun itu didapati positif tetrahydrocannabinol dan mempunyai sejarah penglibatan dadah sekurang-kurangnya 10 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain