suria

Akibat bergurau tak kena tempat, Baby Shima teruk dikecam permainkan OKU - “Saya minta maaf sangat... tak ada niat nak hina”

Video Baby Shima meniru semula aksi Zhariff menerima kecaman netizen.

AKIBAT tidak sensitif, penyanyi Baby Shima akhirnya mengundang kemarahan ramai apabila dia dilihat seolah-olah mempermain-mainkan keadaan fizikal tokoh orang kurang upaya (OKU) iaitu Zhariff Affandi menerusi aplikasi TikTok.

Bagaimanapun ujar Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, dia tiada niat untuk mempersendakan golongan OKU seperti Zhariff dengan melakukan parodi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Baby Shima sedih, pelakon drama YouTube ‘Perempuan Penyondol’ jadi mangsa hinaan - “Kiera betul-betul depress... saya nak bagi dia peluang cuba bakat tanpa pandang fizikal dan rupa”

Menyedari tindakannya dikecam, penyanyi berusia 29 tahun itu terus mengambil langkah memadam video tersebut dan memohon maaf atas kesilapannya yang dilakukan secara tidak sengaja.

Video Shima tiru aksi Zhariff menjadi tular sejak malam, Ahad.

"Saya nampak video itu daripada TikTok, saya tidak tahu pun individu tersebut adalah OKU. Saya hanya fokus pada kaki dia sahaja dan terus buat video seperti itu.

"Sejujurnya, saya tak perasan langsung keadaan dirinya begitu sebab terlalu perhatikan kaki dia sahaja. Selepas 30 minit saya kongsi video tersebut, saya terbaca komen netizen yang mengecam.

"Barulah saya tahu yang individu tersebut OKU dan terus ambil langkah memadam video itu. Kalau betul saya ada niat nak menghina, lebih baik saya biarkan sahaja video tersebut.

"Saya minta maaf sangat kepada individu itu dan semua pihak yang tergores hati dengan video tersebut. Demi Allah, saya tak ada niat nak hina... tak mungkin saya nak buat sesuatu yang mencalarkan nama sendiri," katanya kepada mStar.

Kalau betul saya ada niat nak menghina, lebih baik saya biarkan sahaja video tersebut.

BABY SHIMA

PENYANYI

Menerusi video terbabit, Shima melakonkan semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian dalam sebuah sesi temu bual sebuah program TV.

Aksi penyanyi lagu Pura-Pura Bujang itu mendapat kecaman netizen di media sosial dan melabelkan penyanyi yang melakar nama di Indonesia itu kurang sensitif.

Dalam pada itu, Shima memberitahu dia berasa hairan dan terkejut apabila video tersebut dikongsikan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab walaupun ia sudah dipadam.

Enggan membiarkan perkara itu, Shima berkata dia sudah berbincang dengan peguamnya dan membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan video itu tanpa mengetahui perkara sebenar.

Baby Shima bakal ambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah kepada dirinya.

"Sebenarnya, saya agak terkejut dan rasa pelik juga... video tersebut saya muat naik dan sudah padamkan pada empat hari lalu. Tapi tiba-tiba ada orang sebarkan semula video itu sejak malam tadi (Ahad malam).

"Apa niat pihak tersebut kongsi video tersebut tanpa mengetahui perkara sebenar? Pihak yang sebarkan video itu sudah memfitnah dan merosakkan nama serta imej saya.

"Jadi, saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang menyebarkan fitnah sehingga merosakkan nama saya," ujarnya.

Untuk rekod, Zhariff berkelulusan perkembangan psikologi Universiti Graffith Australia pernah menerima Anugerah Belia Perdana 2011 dan juga merupakan pemilik syarikat The Zhariff Initiative Sdn. Bhd.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain