suria

'You Dan Ysukuku' dilabel lagu rempit, Cat Farish cabar netizen hasilkan lagu sendiri - “Kita tengok hasil dan komen orang pula”

Single terbaharu Cat Farish bersama Baby Shima terima kecaman netizen.

SELEPAS single terbaharunya berjudul You Dan Ysukuku bersama Baby Shima menerima pelbagai kecaman netizen, penyanyi dan komposer Cat Farish tampil menjelaskan maksud sebenar di sebalik lagu tersebut.

Menurut Cat, lagu tersebut dicipta berdasarkan angan-angan seorang lelaki yang mengaku diri mereka sebagai 'mat motor' hanya disebabkan sebuah motosikal jenama Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai Ysuku.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kurus orang cakap sakit, ada juga kata nampak tua” - Cat Farish tak peduli mulut orang, yang penting sihat

"You dan Ysukuku mengisahkan tentang angan-angan seorang lelaki yang inginkan motor Ysuku dan mengimpikan seorang artis untuk menjadi kekasihnya.

"Lagu ni sebenarnya mengarut liriknya sebab berdasarkan angan-angan dan imaginasi. Angan-angan ni mana pernah realistik. Lagu original lain-lain jalan ceritanya, lebih kepada lelaki dekat luar sana yang tiba-tiba saja minat motor disebabkan Ysuku," katanya kepada mStar.

Saya dah buat macam-macam jenis lagu, ada orang suka dan ada tak suka.

CAT FARISH

PENYANYI DAN KOMPOSER

Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 46, berkata lirik asal You Dan Ysukuku diubah selepas Baby Shima dipilih oleh syarikat rakaman MVM Production untuk membawa kelainan pada single ini.

"Pada asalnya, lagu ini liriknya lain. Bila dah jemput Baby Shima, jalan cerita lagu ni pun bertukar. Baby Shima pula dipilih oleh pihak MVM Music yang mahukan duet ini menjadi ngam," jelasnya.

Dalam pada itu, Cat yang menerima pelbagai komen negatif sejak single ini dilancarkan berkata dia enggan mengambil peduli tentang kecaman yang diterima kerana setiap orang mempunyai kreativiti tersendiri dalam menghasilkan sesuatu karya.

Penyanyi lagu Da Bomb ini turut berkata sesiapa saja mempunyai hak untuk menilai malah percaya perjalanan kerjayanya terletak pada takdir tuhan dan bukan kritikan netizen.



You Dan Ysukuku merupakan kolaborasi pertama Cat Farish dan Baby Shima.

"Saya dah buat macam-macam jenis lagu. Ada yang orang suka dan ada juga lagu yang orang tak suka... ada yang orang kata sedap, yang tak sedap, tangkap muat dan buat sesuka hati.

"Jadi orang yang komen tu boleh pilih satu genre yang pernah saya bawa dan buat lagu mereka sendiri, kita tengok hasilnya dan lihat komen orang pula.

"Sebab hak masing-masing nak menilai. Ini seni saya dan terima kasih atas komen anda. Saya akan terus menghasilkan lagu jenis apa pun. Komen-komen itu membantu dan jatuhnya kerjaya saya bukan perancangan anda. Semuanya dari Allah," ujarnya.

Versi asal single You Dan Ysukuku nyanyian Cat Farish akan dilancarkan di saluran YouTube FUKIKA Music pada hujung September.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain