Bella Astillah tunjuk ‘happy’, tak sanggup biar anak tengok asyik menangis… “Saya bukanlah terlalu kuat” - Hiburan | mStar

Bella Astillah tunjuk ‘happy’, tak sanggup biar anak tengok asyik menangis… “Saya bukanlah terlalu kuat”

Bella mahu fokus membesarkan anak tunggalnya, Ayden Adrean. Foto Instagram @bellaastillah

ENGGAN terbawa-bawa dengan kesedihan selepas diceraikan, bekas isteri kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Bella Astillah nekad menceburkan diri dalam bidang seni bagi mencari rezeki untuk dia dan anak.

Bella atau nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, berkata dia memilih untuk menyibukkan diri bagi melupakan apa yang berlaku dan mahu anaknya, Mohamad Ayden Adrean membesar dalam suasana bahagia.

"Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik sahaja, saya pun mula sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti sebagai jalan untuk move on.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak sara hidup, kalau tak kerja bukan kau mahu tolong” - Bella Astillah tegur individu hina dan tuduh tak jaga edah

"Sekarang ni memang banyak masa diluangkan dengan keluarga, bawa mereka jalan-jalan. Datuk, nenek... sampai makcik dan pakcik pun bawa sekali.

"Selain itu saya juga banyak menghadiri program seni dan tak sabar nak masuk set penggambaran untuk sebuah drama bersiri tidak lama lagi," katanya kepada mStar.

Bella mahu anak membesar dalam suasana positif.

Bella ditemui semasa malam anugerah FiTA Wave Short Film Award yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu.

Sementara itu, penyanyi lagu Jom Raya ini mengakui bukanlah seorang wanita yang kuat seperti digambarkan orang ramai.

Namun, dia perlu menepis kesedihan itu kerana tidak mahu Ayden turut terkesan dengan penceraiannya itu.

"Saya sebenarnya bukanlah terlalu kuat... tapi kena kuat juga sebab anak melihat kita sebagai ibu yang sentiasa bersama mereka.

"Saya tak mahu dia tengok saya sedih atau menangis sahaja, jadi sebab itu saya sentiasa tunjuk happy supaya dia happy juga.

Jodoh Bella dan Aliff tidak panjang.

"Sejujurnya, hidup saya kini lebih terarah untuk membesarkan anak dengan hidup yang lebih positif dan mahu dia berasa bahagia sepanjang hidupnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bella berkata dia akan muncul dengan single baharu berjudul Suatu Hari Nanti yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Pada 16 Mei lalu, Bella dan Aliff bercerai talak satu selepas kontroversi melibatkan Aliff yang didakwa curang bersama beberapa wanita sepanjang perkahwinan mereka.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Mohamad Ayden Adrean berusia dua tahun.

Bella Astillah

Artikel Lain