suria

A Rahman Hassan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas, pitam

A.Rahman dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri.

PENYANYI popular era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan dikejarkan ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur selepas tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 malam Isnin.

Menurut anak sulungnya yang juga pelakon iaitu Khir Rahman, bapanya itu pitam di sebuah stesen minyak dan kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Keluarga turut memaklumkan A. Rahman berkemungkinan mengalami komplikasi pada paru-paru.

"Buat masa ini pihak keluarga dimaklumkan bahawa ada komplikasi dengan paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah).

"Beliau kini direhatkan untuk rawatan dan pemantauan lanjut pihak hospital.

"Mohon yang terbaik buat abah. Dipermudahkan segala urusan dan ikhtiar buat abah jua," katanya.

A.Rahman pitam ketika di stesen minyak.

Sementara itu, isterinya, Datin Fadilah Mansor memberitahu keadaan suaminya sebelum itu sihat dan secara tiba-tiba mengadu sukar bernafas.

"Kami baru pulang beraya, tapi dia mahu berhenti sebentar untuk membeli makanan dan tiba-tiba mengadu sesak nafas. Dia duduk sebentar sebelum tidak sedarkan diri.

"Sebelum itu di makan pun macam biasa dan tidak menunjukkan sebarang masalah pernafasan. Semuanya berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, A. Rahman, 73, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3.30 pagi akibat masalah jantung.

Bagaimanapun, dia menafikan mengalami serangan jantung kritikal, sebaliknya doktor memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan.

A. Rahman dibenarkan keluar dari HKL dua hari menjelang Aidilfitri.

A. Rahman Hassan

Artikel Lain